Saturday, July 07, 2012

Tilawah Al-Quran, Sultan K'tan Puji Najib


 




















"Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja menaiki takhta Kesultanan Kelantan: Perkara pertama ialah untuk memilih nama rasmi yang akan dipakai selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”. Pada pandangan saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak langsung siapa yang melafazkannya akan memperolehi pahala. itulah yang terbaik untuk rakyat saya" 
-petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V (Al-Ahkam net 10 May 2011)

Sultan Kelantan kesal cubaan eksploitasi perbezaan agama

KL: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V melahirkan kekesalan dengan percubaan sesetengah pihak mengeksploitasi perbezaan agama kerana tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, sikap pihak berkenaan boleh mencetus pergaduhan agama dan memusnah keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini. Baginda bertitah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan bukan sahaja agama yang dianuti berbeza malah bahasa, budaya serta taraf ekonomi juga tidak sama.

"Satu hakikat yang perlu diterima bahawa kedudukan Islam dimaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri-negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing," titah baginda semasa merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.

Majlis bertema "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah (Sederhana)" yang sehingga 13 Julai ini menyaksikan penyertaan 69 qari dan qariah dari 44 negara. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sultan Muhammad V turut melahirkan kekesalan terhadap perpecahan yang melanda umat Islam.

"Apakah tragedi yang bertimpa-timpa itu masih belum cukup pahit untuk umat Islam mengambil iktibar? Kecelakaan dan penderitaan yang bagaimana lagi dapat memberi keinsafan kepada umat Islam?

"Seluruh umat Islam yang benar-benar cintakan al-Quran harus berasa bertanggungjawab memelihara perpaduan umat, dan mereka seharusnya memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan umat, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan.

"Apa sahaja perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan wajah dan imej Islam harus mendapat reaksi daripada kita semua. Kita harus membersihkan imej umat Islam yang sengaja dikotori oleh musuh-musuh Islam dengan gambaran seram sebagai pengganas atau pelampau," titah baginda.

Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam di negara ini dapat memahami dan menghayati konsep wasatiyyah sebaik-baiknya tanpa terpengaruh dengan budaya songsang yang menyimpang daripada ajaran al-Quran. Sultan Kelantan turut memuji tindakan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib kerana berjaya meneruskan majlis tilawah al-Quran sebagai acara tahunan rasmi negara.

"Pendekatan wasatiyyah, sederhana, adil memang pendekatan yang menjadi ajaran Islam, yang menjadi keindahan Islam. Lantaran itu kita perlu mempertahankannya dan terus memperkembangkannya dalam arus perdana," titah baginda.

Terdahulu, Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa tilawah, berkata kerajaan sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada gagasan 1Malaysia dalam memastikan keberkesanan program transformasi negara.

"Konsep ini merupakan satu pendekatan berterusan dalam dasar-dasar kerajaan yang sedia ada khususnya Program Transformasi Kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Luar Bandar dan tidak terkecuali Program Transformasi di agensi agama," katanya.

Beliau berkata, kepimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuh dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk daripada segi penampilan agar kepimpinan teras terus wujud dan menjadi sumber teladan serta ikutan. - Bernama

1 comment:

Anonymous said...

alaa.. bukan puji,tapi teks ucapan yang dia baca saje..

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails