Wednesday, July 04, 2012

Seniman & Artis Bantu L/raya Rakyat K'tan Pula..



KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan kerjasama PAS Kawasan Batu akan mengadakan perhimpunan seniman dan artis untuk membantu pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan. Himpunan ini akan diadakan pada 6 Julai di Dewan Besar KUIZM, Taman Melewar, Kuala Lumpur bermula pada jam 9.30 malam.

Inilah julung-julung kali program seperti ini dianjurkan oleh Paksi yang teruja dengan saranan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memohon supaya rakyat jelata turut terlibat dalam pembinaan Lebuhraya Rakyat ini.

Himpunan ini bertujuan untuk mengutip derma pembinaan Lebuhraya Rakyat di Kelantan. Himpunan yang bertemakan 'Semarak Seni, Lebuhraya Rakyat' akan diisi dengan pelbagai acara kesenian dan kebudayaan termasuk deklamasi sajak, lagu puisi, pantun seloka selain ceramah.

Jualan dan lelongan lukisan dan buku juga akan diadakan pada malam tersebut. Beberapa orang tokoh  sasterawan dan artis terkenal telah bersetuju hadir untuk menjayakan hasrat murni ini.  Antara mereka ialah SN. Datuk A. Samad Said, Dinsman, Pyanhabib, HMS Abu Bakar, Rahamad Haron dan beberapa tokoh lain.

Di kalangan artis dan pelakon penyanyi Wan Aishah, Bob Lokman, Leman Raja Lawak akan turut sama menjayakan program ini.  Turut sama nanti ialah pelakon Hairi Othman dan Zulkifli Ismail. Tokoh politik yang akan hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Husam Musa yang mewakili kerajaan Kelantan.

Hasil kutipan malam itu dijangka akan diserahkan oleh Pengerusi PAKSI, Dinsman kepada Husam Musa dalam bentuk, mock cheque. Rakyat disaran supaya datang beramai-ramai menghadiri program ini sambil berhibur sambil menderma.

Bawalah kawan-kawan, sahabat andai, keluarga dan teman-teman datang bagi menjayakan usaha murni yang dianjurkan oleh para Seniman.  "Jangan lupa bawa duit untuk menderma. Ini saham Akhirat," kata Cikgu Ishak Surin, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu.(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails