Sunday, July 01, 2012

Syabas Mesir Bela Palestin & Rakyat Syria!

















 MOHAMMED MORSI mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir di Mahkamah Agung Perlembagaan di Kaherah semalam.

KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Morsi mengumumkan sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan "mendapat semula, semua hak mereka". Dalam ucapan sulungnya sebagai Presiden Mesir di Universiti Kaherah di sini semalam, beliau turut meminta supaya pertumpahan darah di Syria ditamatkan.

"Saya mengumumkan dari sini bahawa Mesir, rakyatnya dan institusi Presiden berdiri teguh bersama bangsa Palestin sehingga mereka mendapat semula semua hak mereka," kata Morsi.

"Kami juga menyokong rakyat Syria. Kami mahu pertumpahan darah di negara berkenaan dihentikan," tambahnya.

Beliau mengulangi bahawa Mesir akan menghormati semua perjanjian antarabangsa yang pernah ditandatanganinya. Negara Arab berkenaan memeterai satu perjanjian damai dengan Israel pada 1979.

"Kami membawa mesej keamanan kepada dunia, diiringi oleh perutusan mengenai hak dan keadilan," ujarnya.

Morsi, 60, yang meletak jawatan daripada pegerakan Islam, Ikhwanul Muslimin selepas memenangi pilihan raya Presiden bulan ini, berucap dengan nada tegas berhubung sokongannya kepada Palestin semasa berkempen. Ikhwanul Muslimin turut menentang Bashar Al-Assad dan menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.

Namun, sebagai Presiden, Morsi dijangka tidak melakukan perubahan besar ke atas dasar luar Mesir terutamanya berhubung Israel. Terdahulu, beliau mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir dalam satu upacara ringkas di Mahkamah Agung Perlembagaan di sini.

"Saya bersumpah dengan nama Tuhan yang Maha Besar akan mengekalkan pemerintahan republikan dan menjunjung perlembagaan dan undang-undang negara serta menjaga kepentingan rakyat," katanya dalam upacara di mahkamah berkenaan.

Morsi merupakan Presiden Mesir pertama yang dipilih menerusi proses pilihan raya sejak Hosni Mubarak disingkirkan dalam kebangkitan rakyat awal tahun lalu. - Agensi

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Syabas Presiden baru Mesir, Mohamed Morsiyang tetap bertegas...
  • Mengumumkan sokongannya kepada Palestin sehingga penduduk wilayah berkenaan mendapat semula, semua hak mereka.
  • Meminta supaya pertumpahan darah di Syria ditamatkan.dan turut menentang Bashar Al-Assad dan menyokong kebangkitan rakyat menentang Presiden Syria berkenaan.  (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails