
"Perkara pertama yang terlintas di dalam fikiran sebaik sahaja  menaiki takhta Kesultanan Kelantan:
 Perkara pertama ialah untuk memilih  nama rasmi yang akan dipakai 
selaku Sultan iaitu Sultan Muhammad V dan  perkara kedua ialah untuk menukar seruan “Daulat Tuanku” yang lazim  digunakan sebelum ini kepada seruan “Allahu Akhbar”.
 Pada pandangan  saya, inilah yang paling sesuai kerana secara tidak 
langsung siapa yang  melafazkannya akan memperolehi pahala. itulah yang 
terbaik untuk rakyat  saya" 
-petikan wawancara bersama Tuanku Sultan Muhammad V (Al-Ahkam net 10 May 2011)
Sultan Kelantan kesal cubaan eksploitasi perbezaan agama
KL: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V melahirkan kekesalan 
dengan percubaan sesetengah pihak mengeksploitasi perbezaan agama kerana
 tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, sikap pihak berkenaan boleh 
mencetus pergaduhan agama dan memusnah keamanan yang dinikmati rakyat 
Malaysia pada masa ini. Baginda bertitah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan 
bukan sahaja agama yang dianuti berbeza malah bahasa, budaya serta taraf
 ekonomi juga tidak sama.
"Satu hakikat yang perlu diterima bahawa kedudukan Islam dimaktub 
secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh 
negeri-negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain 
diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing," titah 
baginda semasa merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 
di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
Majlis bertema "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah (Sederhana)" yang 
sehingga 13 Julai ini menyaksikan penyertaan 69 qari dan qariah dari 44 
negara. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sultan Muhammad V turut melahirkan kekesalan terhadap perpecahan yang melanda umat Islam.
"Apakah tragedi yang bertimpa-timpa itu masih belum cukup pahit untuk 
umat Islam mengambil iktibar? Kecelakaan dan penderitaan yang bagaimana 
lagi dapat memberi keinsafan kepada umat Islam?
"Seluruh umat Islam yang benar-benar cintakan al-Quran harus berasa 
bertanggungjawab memelihara perpaduan umat, dan mereka seharusnya 
memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan 
umat, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan.
"Apa sahaja perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan wajah dan 
imej Islam harus mendapat reaksi daripada kita semua. Kita harus 
membersihkan imej umat Islam yang sengaja dikotori oleh musuh-musuh 
Islam dengan gambaran seram sebagai pengganas atau pelampau," titah 
baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam di negara ini dapat 
memahami dan menghayati konsep wasatiyyah sebaik-baiknya tanpa 
terpengaruh dengan budaya songsang yang menyimpang daripada ajaran 
al-Quran. Sultan Kelantan turut memuji tindakan kerajaan Malaysia di bawah 
pimpinan Najib kerana berjaya meneruskan majlis tilawah al-Quran sebagai
 acara tahunan rasmi negara.
"Pendekatan wasatiyyah, sederhana, adil memang pendekatan yang menjadi 
ajaran Islam, yang menjadi keindahan Islam. Lantaran itu kita perlu 
mempertahankannya dan terus memperkembangkannya dalam arus perdana," 
titah baginda.
Terdahulu, Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa tilawah, 
berkata kerajaan sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai 
pemangkin kepada gagasan 1Malaysia dalam memastikan keberkesanan program
 transformasi negara.
"Konsep ini merupakan satu pendekatan berterusan dalam dasar-dasar 
kerajaan yang sedia ada khususnya Program Transformasi Kerajaan seperti 
Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Luar Bandar dan tidak
 terkecuali Program Transformasi di agensi agama," katanya.
Beliau berkata, kepimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuh 
dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk daripada segi penampilan 
agar kepimpinan teras terus wujud dan menjadi sumber teladan serta 
ikutan. - Bernama
1 comment:
alaa.. bukan puji,tapi teks ucapan yang dia baca saje..
Post a Comment