Saturday, November 05, 2011

Misi Kemanusiaan, Selamat & Bantu Mangsa Musibah

KOTA BHARU, 5 Nov 11: Jabatan Amal Malaysia Cawangan Kelantan bukan saja proaktif melaksanakan misi kemanusiaan dan menyelamat, bahkan berkhidmat dengan cemerlang bersama pimpinan PAS negeri di samping membantu mangsa musibah termasuk banjir.

Penasihat Jabatan Amal Kelantan Muhammad Hafiz Musa berkata, dengan visi Jabatan Amal sebagai pergerakan kebajikan sukarela beruniform cemerlang pilihan generasi baru yang berteraskan Islam.

Anggotanya sentiasa berkhidmat secara sukarela dalam usaha membangun semula budaya generasi muda Malaysia melalui pendekatan kebajikan dan kemasyarakatan berlansaskan Islam.

Sehubungan itu, kata Hafiz yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPNK), dalam modus operandi jabatan itu termasuk menghadapi bencana banjir, Jabatan Amal Kelantan sentiasa bersiap sedia bersama dengan pasukan keselamatan dan agensi serta NGO kebajikan lain.

“Kita bersiap sedia bersekali dengan Angkatan Relawan Rakyat (Rela) serta Pasukan Bomba dan Penyelamat Negeri.

“Dalam operasi musim banjir, kita biasanya berdaftar dengan pihak keselamatan negeri yang bertugas di bawah Majlis Keselamatan Negeri dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain,” ujarnya.

Beliau berkata kini Jabatan Amal Kelantan dalam persiapan menghadapi musim banjir yang mungkin berlaku bila-bila masa sekarang. Mengulas lanjut, beliau berkata kursus dan ceramah pernah dianjurkan Jabatan Amal Kelantan pada masa lalu ialah Gejala Sosial dan Ketenteraman Awam serta Kaedah Menanganinya, Bantuan Kecemasan dan Kaedah-Kaedahnya dan Kaedah Menyelamat Waktu Bencana Alam. Program tersebut dijayakan dengan kerjasama pihak JPAM, Bomba dan polis.

Pengarah Jabatan Amal Kelantan, Muhammad Hanif Ahmad menyatakan pada peringkat Jabatan Amal Negeri, pihaknya mengarahkan semua anggota sekiranya jabatan tidak boleh mengadakan program di lokasi tertentu pada musim banjir, mereka hendaklah melaksanakan kerja-kerja membersihkan penempatan mangsa-mangsa banjir selain urusan perpindahan.

“Sekarang kita mengadakan persiapan program latihan kemahiran kepada anggota Unit Amal bagi menghadapi bencana alam khususnya dalam operasi musim banjir.

“Kita bekerjasama dengan banyak pihak termasuk Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kelantan,” katanya.

Menurutnya, kursus berkala jati diri dan pemantapan anggota Unit Amal Negeri sentiasa dilakukan terutama dalam siri menyelamat dan membantu masyarakat.

“Alhamdulillah, jabatan ini juga turun ke Dewan-Dewan Undangan Negeri mengadakan taklimat selain taklimat untuk menarik orang muda dan dewasa supaya turut serta dalam jabatan ini.

“Tidak dihadkan umur untuk menyertai jabatan ini,” katanya sambil menambah kegiatan terbaru diadakan ialah Kursus Menyelamat Di Air dengan kerjasama Bomba dan JPAM.

Sementara itu, Komander Unit Amal Jabatan Amal Kawasan Kota Bharu Mohd Aliman Ismail, 29 berkata unit di bawah kawal selianya itu sentiasa bergerak aktif.

Dalam perkembangan terbaru, unitnya mengadakan Himpunan Sukarelawan untuk menarik golongan belia khususnya dalam Kawasan Kota Bharu untuk bersama dalam kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan seterusnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU 13) di samping Unit Amal itu sendiri dijadikan ikon kepada golongan belia.

Mengulas lanjut, beliau berkata anggota Unit Amal dibekalkan dengan latihan asas keselamatan di samping latihan mengendalikan bot penyelamat. Penerima Anugerah Cemerlang Unit Amal Kawasan Kota Bharu 2011, Idlias Hassan, 45, dari Telipot dekat sini berkata pergerakan Unit Amal yang disertainya itu bukan merupakan batu loncatan untuk mendapatkan kerja lain, tetapi bagi melaksana ‘tuntutan Islam’ serta mengangkat martabat Islam.

“Bahkan menerusi Unit Amal ini mampu mengembalikan kegemilangan Islam sebagaimana kegemilangannya masa lalu.

“Saya masuk Unit Amal dengan erti kata beramal kerana Allah SW dan merasakan kepuasan dalam diri,” katanya. (IH)

IKLAN: Seluar Dalam Ajaib -Baik Untuk lelaki.
Seluar Dalam Ajaib

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails