Friday, August 19, 2011

K'tan: Klinik Hukum Di Qariah Ramadhan,

KOTA BHARU, 19 Ogos 11: Perisytiharan ‘Kota Bharu Bandar Raya Islam’ diterima dengan baik oleh masyarakat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya, demikian juga mereka boleh menerima gelaran Kelantan sebagai ‘Serambi Mekah’.

“Sesungguhnya Kota Bharu yang diisytiharkan sebagai Bandar Raya Islam, sehingga kini diterima masyarakat dengan baik tanpa persoalan.

“Ini kerana gelaran Kelantan sebagai Serambi Mekah dan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam oleh kerana kedua-duanya mempunyai keutamaan iaitu ‘keilmuan’,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan pada Majlis Perasmian ‘Klinik Hukum’ di Qariah Ramadhan, Dataran Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini, malam tadi.

Program dikendalikan Alumni Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir itu bertujuan menyediakan khidmat rundingan profesional dari aspek hukum hakam dalam pelbagai cabang kehidupan masyarakat.

Menyediakan khidmat kaunseling pelanggan serta menjadi rujukan kepada masyarakat dalam perkara yang membabitkan status hukum serta pertanyaan tentang fatwa di Malaysia di samping memberikan khidmatan bimbingan berlandaskan ketetapan syarak kepada semua lapisan masyarakat termasuk saudara baru.

Selain itu program tersebut bertujuan menonjolkan Alumni Mesir bukan saja sebagai sebuah persatuan mengumpulkan mahasiwa dan lepasan Mesir, bahkan turut menjadi institusi penyelidikan dalam bidang hukum syarie serta rujukan massa.

“Oleh itu program Klinik Hukum amat bertepatan dan penting wujud dalam masyarakat, bermula di Qariah Ramadhan mengambil berkat dari bulan Ramadhan ini,” kata Takiyuddin.

Selain itu, beliau memaklumkan Kelantan akan mewujudkan ‘pelancongan Islam’ di mana antara bentuknya ialah apabila para pelancong datang ke Kelantan dipromosikan program berbentuk keagamaan.

“Ini termasuk masjid-masjid tertentu di bandar Kota Bharu diisytiharkan sebagai ‘masjid yang ada solat Dhuha’ pada tiap-tiap minggu (seperti Jumaat dan Sabtu).

“Kini kita pilih Masjid Jam’iah di Jalan Putera Semerak, Kota Bharu dan Masjid Al-Baraah dekat Pasar Besar Siti Khadijah, diadakan program solat Dhuha.

“Dan di samping program itu, kita akan mempromosikan ‘Klinik Hukum’. Para pelancong mendapati tidak menemui program seperti itu di negeri lain kecuali Kelantan, dengan pakej pelancongan Islam.

“Inilah perbezaan Kelantan yang digelar Serambi Mekah yang mampu menyediakan persekitaran keislaman kepada seluruh manusia yang berkunjung ke negeri ini,” kata Takiyuddin yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails