Saturday, January 16, 2010

Rehlah Bersama Orang Asli, Anda Minat? Sila Hubungi Kami..

CATATAN SANTAI IBNU HASYIM

PETANG tadi, editor Blog Wartashubhi dengan beberapa kawan lagi menelefon saya hendak jumpa. Kami bersetuju untuk berjumpa di sebuah perkampungan orang asli, Gombak bersama pemimpinnya, di situ.

"Kami ni, nak rehlah. Atau berkelah.. lebih kurang begitulah." Kata salah seorang dari kami, mengarahkan cadangannya kepada Tok Batin pemimpin orang asli, dalam perjumpaan di situ. "Cuma kami nak tanya pandangan Tok Batin, di mana kami boleh pergi berkelah? Yang dengan pemergian kami ini, dapat kita sama-sama manfaatkan faedahnya."

"Ooo." Jawab Tok Batin. Dia terus berfikir.

Tok Batin ini kami kenal lama. Dari tahun 2007 lagi. Saya masih ingat waktu kami selesai memanjat bukit sekitar kampungnya. Kami ziarahinya dan tumpang sembahyang di rumahnya. Walau pun dia masih belum Islam, tetapi dia mempelawa kami sembahyang di rumahnya kerana surau belum ada lagi. Di situlah hubungan kami mula rapat, sehingga dia benarkan kami berjamaah dan solat tarawih bersama-sama penduduk kampung beragama Islam di rumahnya, dan melaksanakan program kebajikan sepanjang malam bertarawih dan Ramadzan tahun itu.

Terbayang saya, bagaimana dua gadis cantik jururawat orang asli dari hospital daerah itu sibuk membantu orang kampung yang sakit perlukan rawatan, semasa ramai yang sedang bertarawih. Saya rasa macam nak purapura sakit kerana nakkan rawatan dari si cantik itu. Maaf, itu cuma khayalan, tak berlaku pun. Gurau-gurau saja!

"Begini. " Tiba-tiba jawab Tok Batin, memutuskan imbasan kenangan lama saya itu. "Encik ingat tak? Dulu walaupun saya masih belum Islam, encik bantu saya buat program kebajikan. Encik tulis dalam blog dan surat khabar sehingga bantuan datang mencurah-curah. Menyebabkan saya bersama beberapa keluarga mengisytiharkan masuk Islam. Akhirnya boleh buat masjid, tempat permainan anak-anak muda, dewan orang ramai, pejabat, ada Imam, tok siak dan segala macam sehingga jadi seperti yang ada sekarang."

"Al-hamdulillah!" Kawan-kawan menyambut.

Sambungnya, ".... dan baru-baru ini, saya pergi berceramah di perkampungan orang asli di Perak atas nama persatuan kebajikan dan koperasi orang asli di sana, saya ceritakan bagaimana saya masuk Islam. Tiba-tiba beberapa minggu lepas, hasil dari ceramah saya itu saya terima panggilan ada tiga keluarga yang nak masuk Islam."

Kami terperanjat. "Mengapa masih belum pergi lagi?"

"Nak pergi dengan apa? Bukan ada kereta. Bukan ada peruntukan dari mana-mana pihak." katanya bersungguh-sungguh. "Bila encik datang ni, nak pergi.. apa tu? Rehlah? Saya rasa inilah peluang kita pergi sama-sama ke sana!"

"Bagus tu! Elok kita rancangkan." Sambut seorang dari kami.

"Saya yakin, saya kenal tuan-tuan lama. Dengan cara pendekatan tuan-tuan, kita pergi daki bukit, berburu bersama-sama orang kampung, tinggal di sana tiga empat hari dan malam. Kita buat program-program menarik seperti pertandingan sumpit dan lain-lain. Kami siapkan tempat tinggal, saya yakin bukan 3 keluarga masuk Islam, bahkan seluruh kampung itu akan masuk Islam." jelas Tok Batin.

"Eh. Betul ke Tok Batin?"

"Tak percaya boleh cuba. Mereka adalah sanak saudara saya. Khabarnya puak-puak Kristian sudah merancang ke sana.. dan saya kenal sangat mereka!" Kata Tok Batin.

Maka, itulah tujuan saya coretkan catatan santai kali. Pihak kami mengalu-alukan sumbangan idea dan apa-apa saja, hatta diri pembaca-pembaca blog ini yang ingin menyertainya, kami sentiasa alu-alukan. Jika berminat, sila e-mail seperti di bawah. Wallahu 'aklam.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com
Gombak Jan 16, 2010.

Sebelum ini..

1.. Strategi Kristian Menawan Orang Asli?
2.. Orang Asli: Pengkhianat & Serang balas Kristian?
3.. Lelaki Asli. Tiup Seruling Dengan Hidung
4.. Selamatkan Aqidah Masyarakat Kami..
5..Jangan Me'Melayu'kan Orang Asli..
6..
Tok Batin Orang Asli Cabar Mahyuddin Yasin?

1 comment:

Qorie Afifi said...

chantek jugak cadangan ini...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails