Friday, October 26, 2007

Orang Asli: Pengkhianat & Serang balas Kristian?



Ibnu Hasyim:CATATAN SANTAI


“AMERIKA Syarikat antara 4 negara selain Australia, New Zealand dan Kanada yang menentang kelulusan Pengisytiharan Hak-Hak Penduduk Asli di seluruh dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Perjuangan melalui rundingan yang memakan masa hampir 25 tahun, kini telah mencipta sejarah baru kelulusannya pada 13 September 2007…” Kata seorang kawan kami sewaktu sama-sama minum di kedai depan Perkampungan Orang Asli Bukit Kala Batu 12 (Kilometer 24), Gombak Selangor.

Jumlah orang-orang asli, peribumi atau bumiputera di dunia kini seramai 370 juta, antaranya termasuk Orang Asli di Malaysia, Orang Maori di New Zeland, Red Indian di Amerika, Aborogini di Australia dan Masai di Kenya.

Katanya lagi, “Malaysia dan semua negara-negara Asia (cuma Bangladesh yang berkecuali) adalah antara 144 negara yang menyokong usul tersebut.. Al-hamdulillah.”

“Adakah ianya ada kena mengenai dengan kami di sini?” Tanya seorang Orang Asli berasal dari Jerantut yang sedang minum bersama-sama kami.

“Tentu!” Jawab kawan kami.

Antara kandungan penting pengisytiharan tersebut, menurutnya ialah:

1.Penduduk asli tidak akan dipaksa pindah dari daerah-daerah tempat tinggal mereka. Pemindahan tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan terlebih dahulu atau bayaran ganti rugi yang saksama.
2.Penduduk asli mempunyai hak menentukan nasib sendiri dan berhak mempunyai kuasa autonomi bersabit hal-hal tempatan, hasil-hasilnya yang telah mereka miliki secara tradisi. 3.Penduduk asli mempunyai hak memelihara dan memajukan warisan budaya mereka, dan kerajaan hendaklah mengaku hak-hak tersebut.
4.Penduduk asli berhak memajukan segala tanah milik mereka. Tindakan atau keputusan bersifat diskriminasi tidak boleh dilakukan ke atas mereka.


“Kandungan pengisytiharan ini sebenarnya bukan ‘hak istimewa Orang Asli’, tetapi adalah hak yang sebenar dan sepatutnya untuk mereka. Menafikan hak ini bererti menceroboh atau berkhianat kepada hak Orang Asli.” Kata saya pula.

Tiba-tiba datang pula pemangku Tok Batin Bukit Kala, Encik Hussein anak Datuk Panglima Ngah Yin. Sambil mengambil tempat duduk, katanya kepada saya, “Agak lama Encik tak datang. Sebenarnya aku nak beritahu, selepas tulisan Encik dalam internet (kira-kira sebulan dua lepas), banyak perubahan berlaku…”

“Ha! Bagus tu.. Apa responnya?”

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah di kampung kami, di dewan yang bersambung dengan rumah saya itu dijadikan surau, di adakan majlis berbuka puasa, bertarawih dan dua imam hafiz didatangkan khas untuk mengimami kami. Dua muslimah jururawat anak kampong kami yang bekerja di Hospital Orang Asli di sini dibenarkan merawat orang sakit di kalangan kami secara percuma di surau tersebut..” Jelas Encik Hussein. “Di pentas pula, lepas solat tarawih diadakan pelajaran nasyid yang gurunya juga didatangkan khas untuk anak-anak orang asli dan akan berterusan hingga lepas Hari Raya. Sampai menjadi rebutan liputan akhbar-akhbar tempatan. Pada Hari Raya pula diadakan Majlis Makan Lemang masakan Orang Asli.”

“Ya. Saya juga dijemput, tapi tak dapat hadir. Maaf?” Jelas saya.

“Takpe! Wakil rakyat kawasan ini pun dijemput, mereka juga tak dapat hadir. Tetapi fasal letrik yang kami pohon dulu, mereka janji nak bagi dan nak masukkan secepat mungkin!”

“Siapa yang mengurus dan membiayai program puasa dan Hari Raya itu? Pihak kerajaan atau wakil rakyat?”

“Tak! NGO,. Yakni diuruskan oleh sebuah pertubuhan anak yatim Selangor. Khabarnya dibiayi oleh sebuah keluarga Di Raja.” Jelas pemangku Tok Batin itu lagi.

“Tok Batin!” Seorang anak buah Tok Batin bertanya, “Mana kelas fardhu ‘ain seperti yang dijanjikan? Kalau belajar nasyid boleh diteruskan, mengapa kelas fardhu ‘ain tak boleh diadakan? Mana lebih perlu, fardhu ‘ain atau bernasyid??”

Terpinga-pinga Tok Batin. “Aku cuma memohon, kuasa memberinya tak ada pada aku…” Tok Batin macam mengalah.

“Oo. Maaf Tok Batin! Ada lagi respon dari tulisan Encik ni..” Ada seorang lagi kaum Asli mencelah. Jarinya menunjuk kea rah saya. “Tapi pada saya itu respon negatif..”

“Negatif??”

“Selepas tulisan pendedahan Encik ni yang bertajuk ‘Strategi Kristian Menawan Orang Asli?’ dikatakan pihak Kristian menyerang balas melalui kegiatan mereka di tempat lain. Aku dapat tahu di kawasan Gerik dan Pulau Banding Perak, sebanyak 40 buah enjin bot diberi kepada nelayan Orang Asli untuk memancing kepada agama….”

“Engkau jangan cakap sembarangan, hal ini perkara sensitif??” Seseorang yang lain memotong. Dia beralih kepada saya bertanya pendapat, “Apa kata Encik dalam hal ini?”

“Pada saya, sesiapa yang cuba menghalang usaha-usaha memajukan pembangunan fizikal atau spiritual Orang Asli, merampas hak bersabit hal-hal tempatan, hasil-hasil milik Orang Asli secara tradisi, hak memelihara memajukan warisan budaya termasuk agama anutan dan restu Orang Asli, maka mereka juga telah berkhianat kepada Orang Asli, sama seperti kuasa besar Amerika yang mengkhianati peribuminya sendiri.”

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) Gombak 26-10-2007.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails