Saturday, January 16, 2010

Denda RM3,000, Kalau Bukan Islam Guna 35 Kalimah Ini



LARANG KALIMAH 'ALLAH' DIGUNAKAN BUKAN ISLAM
Bukan Islam boleh didakwa jika guna 35 kalimah yang dilarang

SHAH ALAM: Bukan Islam di Selangor yang menggunakan 35 kalimah dan perbahasan bagi mengaitkannya dengan agama mereka secara bertulis atau lisan boleh didakwa di mahkamah.

Sabit kesalahan, bukan Islam itu boleh dihukum didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-dua mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Muhammed Khusrin Munawi, berkata Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 menyenaraikan 35 perkataan atau kalimah yang dilarang digunakan bagi mengaitkan dengan agama bukan Islam.

Beliau berkata, orang bukan Islam menggunakan 35 kalimah dan perbahasan yang dilarang itu boleh didakwa mengikut enakmen berkenaan kerana menghina, ingkar serta mempertikai perintah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan keputusan Majlis Fatwa Selangor yang dibuat pada 2008.

Kalimah itu ialah Allah, Firman Allah, Ulama, Hadis, Ibadah, Kaabah, Kadi, Ilahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Kiblat, Haji, Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Injil, Solat, Khalifah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi dan Sheikh.

Bukan Islam juga dilarang menggunakan 10 kalimah dalam perbahasan bagi mengaitkan dengan agama mereka iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahailallah, Walillahilhamd, Allahu Akbar, Insya-Allah, Astaghfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masya-Allah dan Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim.

'Jika ada aduan rasmi (bukan Islam menggunakan kalimah ini) kita akan siasat dan ambil tindakan,' katanya di sini kelmarin. (CYB/BHM/AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails