Wednesday, February 10, 2021

P.Pinang: Masuk kediaman baharu, setelah 20 tahun menanti.

 

Pangsapuri Warisan Tanjung mula dimasuki pemilik

BUKIT BENDERA: Sesi penyerahan kunci kepada para pemilik Pangsapuri Warisan Tanjung, sekali gus memasuki kediaman baharu setelah penantian selama 20 tahun itu telah berlangsung kelmarin.

Serahan bersejarah oleh para pegawai UDA Holdings Berhad itu telah disaksikan dengan kehadiran sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sini. 

Penyerahan yang sepatutnya berlaku lebih awal tetapi tertangguh disebabkan situasi pandemik COVID-19, namun tetap dalam suasana gembira apabila pemilik mula memindahkan barangan mereka ke unit masing-masing.

Sempena kehadiran tersebut, Dato’ Seri Dr Wan Junaidi juga sempat meluangkan masa melawat ke unit kediaman Pengerusi Persatuan Suara Penduduk Tanjung Tokong, Musannif Zainal Abidin.

Malah, sebelum itu beliau turut melakukan lawatan ke rumah transit bekas penduduk Kampung Melayu Tanjong Tokong yang dikenali sebagai rumah panjang beramah mesra mengenai pemindahan itu.

Turut hadir sama adalah pimpinan PAS Negeri Pulau Pinang iaitu Pesuruhjaya, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan Setiausaha, Iszuree Ibrahim serta Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka Bandar, Yacoob Omar.

Juga bersama adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Bendera, Abdul Halim Salleh dan Ketua Muslimat PAS Bukit Bendera, Zarina Shinta Madar serta beberapa wakil dari PAS Kawasan Tanjung.

Menurut Iszuree, sudah sekian lama PAS Pulau Pinang bersama persatuan penduduk memperjuangkan isu tersebut yang akhirnya berjaya mendapatkan hak mereka iaitu kediaman ganti. – HARAKAHDAILY 10/2/2021

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails