Tuesday, July 21, 2020

Kisah Penyeludupan Minyak Masak K'tan-Thailand.

LOKASI yang dipercayai digunakan sindiket untuk menyeludup minyak.
Lokasi dipercayai seludup minyak.
Bawah telunjuk 'Big Boss'


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merekodkan kerugian ditanggung kerajaan sebanyak RM600,000 sebulan atau RM7.2 juta setahun membabitkan minyak masak yang diseludup ke Thailand melalui Kelantan.
Mungkin segelintir pihak menganggap kegiatan penyeludupan dilakukan rakyat tempatan itu dibuat secara kecil-kecilan, namun hakikatnya aktiviti berkenaan dikendalikan secara sistematik dan tersusun oleh individu digelar 'Big Boss'.
Mana tidaknya, lelaki itu dikatakan mengawal 10 pemborong minyak masak di Kelantan apabila minyak masak itu kemudian diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram Adam, pangkalan haram Pok Nuh dan melalui Jambatan Muhibah Rantau Panjang.
Sumber memberitahu Harian Metro, Big Boss adalah pesara kerajaan yang dikatakan membantu banyak pemborong minyak masak di negeri Cik Siti Wan Kembang itu ketika dia masih bertugas.
"Mereka yang terhutang budi dengannya akan patuh kepada arahannya, mereka (pemborong) yang ingkar akan disekat jualannya," kata sumber yang enggan dinamakan atas faktor keselamatan ketika ditemui.

Memperincikan dakwaannya itu, beliau berkata, biarpun banyak syarikat pemborong minyak masak di Kelantan yang mempunyai lesen pemborong, ia sebenarnya adalah 'dummy' saja.
ANTARA minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas pihak berkuasa. FOTO Arkib NSTP ANTARA AN minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup ke negara jiran dirampas  pihak berkuasa. FOTO Arkib NSTP
"Memang banyak syarikat repacker (bungkus semula minyak subsidi) dan pemborong minyak masak di sini (Kelantan), tetapi kamu perlu tahu ke mana akhirnya minyak masak itu akan dikumpulkan.
"Ia (bekalan) akan berlegar antara pemborong sebelum dikumpul kepada satu pemborong.
"Mudahnya begini, syarikat A, B, C, D dan E adalah pemborong. Dalam banyak-banyak pemborong itu, akan ada satu yang dominan antara mereka dipercayai milik right man kepada Big Boss.
"Setiap syarikat pemborong akan mendapat kuota minyak masak ditetapkan kerajaan untuk dibungkus dan urusan tuntutan subsidi.
"Jumlah (kuota) syarikat A, B, C, dan D, kita katakan 10 tan metrik, namun semakan mendapati minyak masak syarikat A, B, C, dan D akan berakhir di syarikat E yang dikendalikan orang kepercayaan Big Boss," katanya.
PIHAK berkuasa menyerbu markas seludup minyak masak. FOTO Arkib NSTP PIHAK berkuasa menyerbu markas seludup minyak masak. FOTO Arkib NSTP
Menurutnya, hasil semakan mendapati Big Boss menggunakan pangkalan haram Adam dan pangkalan haram Pok Nuh untuk menyeludup minyak masak melalui Sungai Golok ke Thailand.
Katanya, Big Boss juga menggunakan laluan Jambatan Muhibah Rantau Panjang iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang untuk menyeludup barangan subsidi ke Thailand.
Buktinya, katanya, KPDNHEP Kelantan berjaya merampas dua lori yang cuba menyeludup 6.93 tan minyak masak paket dan 969 kilogram tepung gandum ke Thailand, pada 6 Mei lalu yang disembunyikan bersama timbunan makanan dianggarkan bernilai RM118,648.18.
"Siasatan mendapati cubaan seludup yang gagal itu juga dikendalikan Adam, pemilik pangkalan haram di Sungai Golok. Adam memang antara orang kepercayaan Big Boss," katanya.
Mengulas lanjut, sumber itu berkata, sindiket ini mempunyai rangkaian lengkap iaitu tonto terdiri daripada penduduk setempat yang dibayar antara RM30 hingga RM50 setiap kali melaporkan pergerakan pihak berkuasa.

Ditanya wartawan mengenai tindakan syarikat pemborong yang dikesan menjual minyak masak di Thailand, beliau berkata, ada dua atau tiga syarikat yang sudah ditarik lesennya.
HOS yang diubah suai untuk memindahkan minyak masak untuk diseludup. HOS yang diubah suai untuk memindahkan minyak masak untuk diseludup.

"Namun, ia bukan perkara mudah kerana akan ada syarikat lain yang diwujudkan bagi mendapatkan kuota berkenaan. Untuk batal lesen juga tidak mudah, malah beberapa syarikat pemborong dikendalikan Big Boss juga sudah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu namun sehingga kini kes masih senyap.
"Syarikat yang diserbu dan disiasat SPRM sudah semakin kurang aktif ketika ini namun lain-lain syarikat masih rancak," katanya sambil mendakwa sindiket berkenaan turut beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu disebabkan mereka tergolong kepada perkhidmatan perlu.
Untuk rekod, subsidi minyak masak diuruskan kerajaan berjumlah RM700 juta iaitu 60 sen bagi peket minyak masak sekilogram.
Tindakan tegas tak kira status pesalah
"Sesiapa saja yang buat perkara tidak betul ini, kita akan ambil tindakan. Tak kisahlah pesara kerajaan atau siapa pun, kita tidak peduli," itu tegas Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman.
Beliau memberikan reaksi itu apabila ditanya berhubung kenyataan sumber kepada Harian Metro yang mendakwa kegiatan penyeludupan barangan bersubsidi Malaysia ke Thailand melalui Kelantan didalangi pesara kerajaan digelar Big Boss.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya tidak menerima maklumat didakwa itu, namun siasatan akan dilakukan sebelum tindakan lanjut dibuat.
ANTARA minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup. FOTO Arkib NSTP ANTARA minyak masak bersubsidi yang cuba diseludup. FOTO Arkib NSTP
"Saya pun tak tahu cerita ini, cuma kalau berlaku penyelewengan barang kawalan, memang kita ambil tindakan dari semasa ke semasa.
"Kita lakukan tindakan dengan kerjasama agensi lain seperti Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin. Mereka yang banyak bantu kita," katanya ketika dihubungi Skuad Khas Harian Metro.
Ditanya langkah pencegahan diambil untuk memastikan pegawai KPDNHEP tidak terperangkap dalam sindiket penyeludupan, katanya, pertukaran pegawai dengan kerap di kawasan 'hotspot' adalah antara yang dilaksanakan.

1 comment:

Anonymous said...

TIADA PENYELARASAN ANTARA JABATAN.CONTOH SAYA PERNAH LIHAT KENDERAAN PENYELUDUP MELALUI PINTU KASTAM TIADA TINDAKAN YANG DI AMBIL OLEH PIHAK KASTAM DISEBABKAN IANYA BUKAN DI BAWAH BIDANG KUASA MEREKA.SATU LAGI PENYELUDUP YG TERDIRI DARIPADA PENIAGA SAYUR-SAYURAN MELETAKAN BERAS DI BAWAH TIMBUNAN SAYYUR.SELEPAS TIBA DI DESTINASI SEPERTI PASAR TASEK RAJA KITA AKAN NAMPAK BENDA INI.SEPATUTNYA PENGUATKUASA KENA PANTAU PENIAGA INI.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails