Sunday, July 19, 2020

Guru maut jatuh bangunan sekolah

TANAH MERAH: Seorang guru lelaki berusia 54 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat satu bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah dekat sini ketika sedang memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan untuk menerima kemasukan pelajar esok.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Zainuddin Md Yusuf berkata kejadian berlaku pada pukul 12:30 tengah hari semasa guru yang sedang memijak kerusi plastik itu tiba-tiba tergelincir.
Beliau lalu terjatuh dari balkoni, dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala kerana terkena bucu longkang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati guru yang telah hampir 17 tahun mengajar matematik di sekolah berkenaan terjatuh pada ketinggian tiga meter semasa hendak memeriksa sistem paip dan sinki sebagai persiapan pembukaan sekolah esok.
“Ketika kejadian, terdapat dua guru lain yang hanya mampu melihat kejadian tetapi tidak sempat memberi pertolongan kerana kejadian berlaku dengan pantas,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat  Polis (IPD) Tanah Merah di sini.
Zainuddin berkata lelaki itu meninggalkan seorang balu yang juga seorang guru di sebuah sekolah lain di daerah ini serta lima orang anak. – BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails