Monday, July 20, 2020

Atlet bersara tetap diberi perhatian


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Penasihat Sukan, sedang merangka satu pelan program yang sesuai untuk bekas-bekas atlet, yang akan memasuki alam persaraan.


Bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia masih di peringkat awal dan mengambil masa untuk disiapkan, kerana perlu kepada kertas cadangan serta penelitian daripada pakar-pakar, dalam jawatankuasa berkenaan.
“Saya telah bermesyuarat dengan ahli jawatankuasa penasihat sukan negeri, yang terdiri daripada pakar-pakar seperti bekas Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman, pada minggu lepas dan minta mereka sediakan pelan cadangan program, sesuai untuk bekas atlet sebagai persediaan menempuh alam persaraan.
“Insyaallah selepas dapat cadangan, kita akan perhalusi dan bentangkan program tersebut. Sama ada mereka (bekas atlet) mahu terima atau tidak, terpulang pada diri masing-masing,” katanya pada sidang media, selepas majlis meraikan kemenangan skuad ragbi Piala Agong dan skuad ragbi 7 sepasukan kebangsaan negeri Terengganu 2019, di sini malam tadi.
Pada majlis itu Wan Sukairi menyampaikan insentif kemenangan sebanyak RM150,000, sebagai galakan untuk kedua-dua pasukan terus mencipta kejayaan pada masa depan.
 
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu merangkap Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Kebangsaan Amir Amri Mohamad.
Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, penyediaan pelan itu juga penting sebagai alternatif kepada bekas atlet, selain bidang kejurulatihan yang ruang lingkup serta peluangnya agak terhad, di negara ini.
“Bukan semua bekas atlet akan pergi kepada dunia kejurulatihan, kerana peluangnya agak terhad bagi semua jenis sukan.
“Jadi menjadi tanggungjawab kerajaan negeri, untuk menyediakan pelan ini dan keutamaan adalah kepada bekas atlet berasal dari Terengganu, yang telah berjasa mengharum dan mengangkat nama negeri,” katanya. – BERNAMA


Hibur Hibur Sikit 
H2S Pilihan: 17 -Lagu Bola... Silat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails