Tuesday, July 21, 2020

2 tembakan untuk halang suspek di Jalan Besar Kepong, KL

RAKAMAN video yang tular di media sosial. FOTO tular media sosial

TINDAKAN seorang lelaki memandu secara melulu ke arah pegawai polis menyebabkan pihak polis terpaksa melepaskan dua das tembakan dalam kejadian di Jalan Besar Kepong, Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya menjalankan operasi bagi mengekori sebuah Toyota Yaris dipandu seorang lelaki disyaki membawa dadah dari Taman Tun Dr Ismail ke arah Jinjang jam 6.30 petang.
"Ketika berada di tepi Jalan Besar Kepong, pegawai dan anggota bertugas membuat halangan dengan menggunakan dua kenderaan polis di bahagian hadapan serta belakang kereta suspek.



"Seorang pegawai meluru ke kereta itu dengan menunjukkan kad kuasanya, namun suspek enggan memberikan kerjasama sebelum bertindak agresif serta cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan secara melulu ke arah pegawai berkenaan.
"Keadaan itu menyebabkan pegawai itu melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kereta suspek demi mempertahankan diri selain untuk memberhentikan kenderaannya supaya tidak membahayakan orang awam," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun, suspek sempat melepaskan diri dalam kejadian itu.
"Siasatan awal mendapati nombor pendaftaran kereta digunakan suspek didaftarkan atas nama sebuah syarikat sewaan kereta.
"Usaha mengesan suspek diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 0321159999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, satu video berdurasi tujuh saat menunjukkan pegawai polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dipandu suspek di Jalan Besar Kepong, tular di media sosial, hari ini.
Dalam video berkenaan yang dipercayai dirakam pengguna jalan raya, dua pegawai polis dilihat cuba memberhentikan kereta itu, namun ia terus dipecut suspek sebelum tembakan dilepaskan.


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails