Sunday, April 26, 2020

ADUN BERSATU P.Pinang boleh cabar peruntukan negeri

Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH


KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pulau Pinang boleh mencabar Perlembagaan negeri itu yang menghalang amalan lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
Mereka ialah ADUN Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim.

Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz, berkata tindakan untuk mencabar peruntukan itu boleh menggunakan kes membabitkan bekas ADUN dari Kelantan sebagai duluan.
“Dulu di Kelantan, ia (peruntukan anti lompat parti) pernah dicabar dan peruntukan sedemikian dikatakan tidak sah oleh mahkamah.
“Ini disebabkan ia dikatakan bercanggah dengan hak berpersatuan. Semua ADUN ada hak menyertai mana-mana persatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menjelaskan pindaan Perlembagaan negeri itu pada 2012, mana-mana ahli yang bertanding atas tiket parti tertentu dan keluar parti, kerusi terbabit boleh dianggap kosong.
Tindakan itu susulan pengumuman Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa parti itu tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH), semalam.
Perkara 10(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Parlimen boleh melalui undang-undang mengenakan apa-apa sekatan didapati perlu atau suai untuk kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen; mana-mana DUN atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.
Pada November 2012, Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang meluluskan Enakmen Perlembagaan negeri (Pindaan) 2012 bagi mengelak amalan lompat parti dalam kalangan ADUN, sekali gus mengelak kerajaan yang menang pada pilihan raya umum ditumbangkan secara tidak demokrasi.
Ia memperuntukkan mana-mana ADUN dipilih sebagai calon sesebuah parti politik perlu mengosongkan kerusinya, jika melepaskan, dilucutkan keanggotaannya atau berhenti daripada menjadi ahli parti politik atas apa-apa alasan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails