MEMBACA al-Quran sepanjang malam Ramadan di bumi Jepun adalah rutin kebiasaan yang dilakukan penyerang kelab Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak sebelum dia masuk tidur.
Hadi, 20, yang sudah dua tahun menetap di Okayama mengakui tidak kekok menyambut Ramadan di perantauan biarpun dia satu-satunya pemain beragama Islam dalam skuad yang beraksi di divisyen dua Liga Jepun itu.
Malah, jelas pemain skuad bawah 23 (B-23) tahun negara itu, tidak banyak perbezaan berpuasa di negara Matahari Terbit itu dengan di Malaysia melainkan hanya waktu sahur lebih awal berbanding di tanah air.
"Beza kalau di Malaysia saya akan berbuka bersama keluarga tersayang dan bezanya waktu saja di sini (Okayama) iaitu waktu subuh awal pada pukul 3:35 pagi dan berbuka pukul 6:45 petang.
"Cuaca di sini agak sejuk berbeza dengan Malaysia. Tapi ini tahun kedua saya, alhamdulillah tiada masalah. Pada waktu malam, saya akan solat tarawih dan mengaji selain hubungi keluarga saya di Malaysia," katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Jelasnya lagi, dia turut mengisi masa terluang dengan beberapa aktiviti di rumah ketika di luar waktu latihan dengan belajar memasak sendiri.
HADI bermain permainan video online selepas belajar bahasa Jepun pada waktu pagi.
HADI bermain permainan video online selepas belajar bahasa Jepun pada waktu pagi.
Saluran YouTube sering dijadikan tempat rujukan Hadi belajar memasak terutama di bulan yang mulia ini dengan menu utama sekiranya berada di Malaysia apabila berkunjung ke bazar Ramadan adalah ayam percik dan kuih tepung pelita.
"Kalau di Jepun semua itu (makanan kegemaran) tak ada, jadi saya makan apa yang ada saja. Kalau nak pun kena buat sendiri. Saya juga selalu belajar masak tengok dalam YouTube dan cuba lakukan di rumah," katanya yang turut belajar bahasa Jepun pada waktu pagi dan bermain video 'game online' bagi mengisi masa lapangnya, lebih-lebih lagi ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 ini.
Berkongsi situasi terkini sepanjang wabak itu, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu mengakui saingan Liga-J terpaksa dihentikan termasuk sesi latihan meskipun sebelum ini dibenarkan oleh pihak kerajaan.
"Buat masa sekarang ini saya cuti (ekoran Covid-19), jadi saya akan berlatih di rumah pada sebelah petang kira-kira dua jam sebelum berbuka. Sudah dua hari saya berpuasa di sini dan berbuka sendiri di rumah.
"Disebabkan Covid-19 ini, saya lebih selesa bersendirian di rumah untuk langkah berjaga-jaga. InsyaAllah, kita sama-sama doa supaya Covid-19 ini ada penawarnya dan cepat hilang supaya kita boleh jalani kehidupan seperti biasa."(MyMetro)
2 comments:
Boleh jadi contoh kepada anak2 muda. Di mana pun berada, ibadat jangan tinggal.
Jika zaman Nabi saw dan sahabat2, jika disembunyikan infaq, tidaklah dapat dijadikan contoh oleh umat terkemudian. Islam berkembang zaman itu antaranya kerana ada sumbangan dari golongan koporat seperti Saidina Abu Bakr, Saidina Omar, Saidina Othman dan ramai lagi. Jadi golongan yg suka menderma diharap jadi ikutan oleh golongan koporat yg ada kat Malaysia ni.
Post a Comment