Wednesday, April 29, 2020

Kenapa Beza? Undang-undang Beza, Tuduhan Juga Beza


Kesalahan Timbalan Menteri, EXCO Perak hanya langgar SOP

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersikap adil kepada semua pihak dengan tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, siapa yang langgar akan diambil tindakan tanpa mengira sebarang kedudukan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak pernah membezakan kedudukan dalam menjatuhkan hukuman terhadap pihak yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun katanya, terdapat perbezaan undang-undang yang dikenakan terhadap Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali dan EXCO Perak, Razman Zakaria yang hanya melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam PKP.
“Ada yang mempersoalkan kenapa berbeza? Sebab undang-undangnya berbeza, tuduhan juga berbeza. Dua VIP itu hanya melanggar SOP di bawah peraturan, bukan melanggar perintah PKP.
“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa wakil rakyat dibenarkan bertugas sewaktu PKP untuk menjaga kepentingan rakyat di bawah.
“Oleh itu mereka mesti dibebaskan untuk bergerak memberikan membantu dan kebajikan kepada rakyat, jadi mereka dibenarkan,” katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.
Terdahulu, ramai pihak yang mempersoalkan denda RM1,000 yang dikenakan terhadap dua kenamaan tersebut yang dilihat seolah terdapat perbezaan kerana ada orang awam yang ingkar PKP dijatuhkan hukuman penjara.
Dalam menjelaskan isu ada yang dijatuhkan hukuman penjara, Ismail Sabri menegaskan ia tertakluk kepada kesalahan lain di bawah kanun keseksaan iaitu seperti menghalang tugas penjawat awam, bukan kesalahan di bawah PKP semata.
Kata beliau, ia termasuk kes langgar sekatan jalan raya sehingga ada polis yang tercedera.
Selain itu kata beliau, tuduhan kerajaan memperlihatkan dua darjat bagi kes membabitkan Timbalan Menteri dan Exco Perak dengan orang awam adalah satu tanggapan salah.- HARAKAHDAILY 29/4/2020

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails