Wednesday, April 29, 2020

238 ditahan bina petempatan sementara di hutan Ulu Rening

238 ditahan bina petempatan sementara di hutan Ulu Rening
Petempatan sementara di hutan Ulu Rening yang menempatkan 238 penghuni. -PDRM

HULU SELANGOR: Seramai 238 individu ditahan polis dalam satu serbuan di hutan Ulu Rening, Batang Kali, Hulu Selangor pada petang Selasa setelah didapati membina petempatan sementara di kawasan itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata, jumlah itu merangkumi individu dalam kalangan dewasa, kanak-kanak dan juga bayi daripada kumpulan yang dikenali sebagai Dewan Perkasa Ekonomi Islam Nusantara (DPEIN).


"Hasil pemeriksaan kita dapati kawasan tersebut merupakan hutan yang baru diteroka dan mereka bina petempatan sementara.

"Mereka pasang khemah, dan jalankan semua aktiviti termasuk mandi, masak dan semuanya di situ," katanya ketika sidang media di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor pada malam Selasa.

Menurut Fadzil, serbuan dibuat sebaik sahaja menerima maklumat berhubung pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan itu pada jam 5 petang Selasa.

Difahamkan, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada 76 lelaki, wanita (77) dan kanak-kanak serta bayi (85) yang berasal dari pelbagai negeri antaranya Kelantan, Pahang, dan Perak.

Tambah Fadzil, buat masa ini polis akan melakukan siasatan lanjut berhubung tujuan mereka membuat petempatan tersebut.

"Kita kumpulkan mereka di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.

"Kita juga dah lakukan saringan terhadap mereka yang ditahan dengan kerjasama pihak KKM dan juga JKM," katanya lagi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Peraturan Penyakit-Penyakit Berjangkit 1988. (AA)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails