Begitu rungutan golongan penoreh getah di Kampung Katong di sini berikutan kejatuhan harga komoditi tersebut yang sekali gus memberi kesan kepada mereka.
Malah terdapat dalam kalangan mereka yang terpaksa melakukan pekerjaan sampingan bagi membantu menambah pendapatan.
Penoreh getah, Mat Dali Saad, 66, berkata, dia yang mengambil upah menoreh getah hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM15 sehari, malah kadang-kala keluar awal pagi tetapi pulang tangan kosong.
Katanya, kejatuhan harga getah ketika ini merumitkan mereka apatah lagi jika kerajaan tidak mencari jalan penyelesaian.
“Pernah satu ketika dahulu hasil torehan (getah sekerap) yang ditolak kepada peraih mencecah RM10 sekilogram. Namun sejak akhir-akhir ini harga yang dibeli oleh peraih hanya RM2.30 sekilogram.
“Akibatnya, saya kadang-kala terpaksa mengikat perut kerana tidak mampu membeli barangan keperluan.
“Itu hakikat yang bukan sahaja dihadapi oleh saya, malah penoreh-penoreh getah yang lain. Jika dahulu, ada juga bantuan daripada kerajaan, sekarang sudah tiada,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Rakannya, Hazmi Isa, 34, berkata, dia terpaksa melakukan beberapa pekerjaan lain selepas hasil daripada menoreh getah tidak cukup bagi menampung kehidupannya sekeluarga.
Katanya yang mempunyai dua orang anak kecil, pendapatan yang rendah itu tidak cukup menampung kos sara hidup.
“Saya harap kerajaan dapat buat sesuatu bagi membantu para penoreh getah ini. Dahulu janji hendak membela nasib golongan ini, namun apabila berkuasa, keadaan berlaku sebaliknya.
“Setiap hari hanya sebut pasal hutang negara sehingga banyak perkara lain seperti golongan penoreh getah dan pekebun kecil ini diabaikan. Sememangnya hutang negara penting untuk diberi keutamaan, tetapi kami penoreh ini juga mempunyai hutang yang perlu diselesaikan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penoreh, Amirul Muslimin Azizan, 32, pula berharap belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini akan turut memberi fokus kepada nasib penoreh getah ini. - UTUSAN ONLINE