Persoalan itu ditimbul­kan oleh Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang melihat se­na­rio tersebut sebagai satu tra­disi baharu dalam sidang Dewan Rakyat.
Ronald menjelaskan, perkara seperti itu tidak pernah berlaku semasa beliau menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
“Satu soalan dikemukakan kepada Menteri Kewangan dijawab oleh Perdana Menteri dan perkara ini di luar tradisi Parlimen.
“Jika diberi peluang, Bagan (Guan Eng) tentu dapat jawab soalan dengan baik dan tidak membayangkan Yang Berhormat (Perdana Men­teri) tidak mempercayai keupayaan dan kebolehan Bagan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Menurut aturan urusan me­­s­yua­rat hari ini, soalan pertama dalam sesi soal jawab mengenai alasan untuk Malaysia membuat pinjaman kewangan dari Jepun di­tanya oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) kepada Guan Eng.
Dalam pada itu, Guan Eng ber­kata, Dr. Mahathir berhak untuk menjawab bagi pihak Menteri Kewangan kerana beliau merupakan orang yang paling berkuasa.
“Perdana Menteri merupakan orang yang paling berkuasa dan sudah tentu beliau ada hak,” kata­nya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Guan Eng berkata, Dr. Mahathir juga telah menunjukkan sikap yang bertanggungjawab menerusi tindakan tersebut.
“Ini menunjukkan sikap tanggungjawab beliau kerana perkara ini dinyatakan oleh beliau terlebih dahulu dan saya rasa sikap akauntabiliti beliau harus dipuji,” katanya. (Utusan)