Nurul Izzah berkata, perusahaan projek automotif negara haruslah sejajar dengan kehendak semasa lebih-lebih lagi Malaysia perlu menyusun langkah pantas daripada sebuah ekonomi berteraskan sektor pembuatan ringkas kepada ekonomi berlandaskan pembangunan produk, kejuruteraan, teknologi dan harta intelek.

Katanya, jumlah jualan tahunan kenderaan nasional yang meliputi 48 peratus daripada jualan keseluruhan tahun lalu menggambarkan prestasi memberangsangkan dua syarikat kereta nasional iaitu Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

“Tidakkah peratusan ini menunjukkan kereta-kereta nasional (sedia ada) mampu bersaing dengan kereta-kereta jenama terkemuka dunia yang dikilangkan dalam negara (CKD) yang memperolehi kadar duti eksais rendah? Atau adakah peratusan jualan ini disebabkan kawalan pasaran dalam bentuk selain duti eksais?

“Walaupun Proton dikatakan sudah gagal sebelum ini dan pemilikan 49 peratus saham oleh Zhejiang Geely Holding Group (Geely) menggambarkan Proton bukan lagi sebuah syarikat kereta nasional, namun syarikat tersebut masih komited memacu pembangunan tenaga kerja rakyat Malaysia dan pembekal automotif tempatan yang berkeupayaan.
“Laporan jualan terkini Perodua pula mencatatkan perkongsian pasaran bulanan syarikat itu sudah pun melangkaui 40 peratus. Ditambah pula dengan kerjasama rapat dengan gergasi automotif dunia iaitu Toyota, tidakkah ini mencukupi untuk mencapai matlamat asal projek automotif nasional?,” katanya dalam laman web nurulizzah.com, hari ini.

Sabtu lalu, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Yusof berkata, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020 sebagaimana dibayangkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini. - UTUSAN ONLINE