Saturday, October 07, 2017

‘Datuk’ Rogol Kanak2 12 Tahun? Undang2 Sekarang Tak Mampu Mendidik..

Hasil carian imej untuk rogol dalam perundangan

MIRI – Seorang ahli perniagaan terkemuka dalam industri minyak dan gas, yang berusia 82 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di dua lokasi berlainan di Bandaraya Miri.
Bagi kesalahan pertama, Datuk Ibrahim Ahmad Darvesh Mohd Deen atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Din, didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu di sebuah hotel bajet terletak di Taman Jade Manis di sini pada 12.40 pagi 31 Ogos 2017 mengikut Seksyen 376 (2)(D) Kanun Keseksaan.
Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol kanak-kanak yang sama di dalam sebuah bilik di hotel bajet di Jalan Masjid di sini pada 8 malam 11 Sept 2017 mengikut Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.


Ibrahim kelihatan tenang ketika jurubahasa mahkamah membacakan kedua-dua pertuduhan itu dalam bahasa Malaysia di hadapan Hakim Steve Ritikos.
Steve kemudian menetapkan 19 Okt untuk pengurusan kes manakala 5 hingga 9 Mac tahun depan pula untuk perbicaraan.
Steve turut membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dan dua penjamin rakyat tempatan. Bayaran perlu dijelaskan pagi esok dan kegagalan berbuat demikian mengakibatkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Ranbir Singh. Lapor BERNAMA

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Nampaknya hukuman-hukuman yang ada sekarang langsung tidak menakutkan penjenayah, apalagi untuk mendidik mereka. Lebih malang, ini bukanlah kes pertama seumpamanya. 

Di dalam Islam, rogol didefinisikan sebagai jenayah zina secara paksaan. Walau bagaimanapun, Islam sebagai agama rahmat tidak memberi hukuman kepada mangsa rogol. Firman Allah s.w.t yang bermaksud: 
  • "Dan janganlah kamu memaksa hamba perempuan-perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, sesungguhnya Allah -- sesudah paksaan yang dilakukan kepada mereka -- Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah An Nur: 33) 
Hukuman bagi jenayah rogol dalam Islam adalah sebagaimana dalam hukum hudud. Jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. 

Terdapat dua bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas perogol yang disabitkan kesalahan:

Rejam sehingga mati jika pesalah pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah. 100 sebatan ke atas pesalah yang belum pernah melakukan persetubuhan melalui perkahwinan yang sah dan penjara selama setahun. 

Namun, sekiranya kesalahan tidak dapat dibuktikan melalui empat orang saksi atau pengakuan tertuduh ia boleh disabitkan berdasarkan keterangan lain seperti DNA, laporan perubatan dan lain-lain keterangan yang boleh dijadikan bahan bukti kes dan dikenakan hukuman yang dipanggil Takzir mengikut budi bicara mahkamah.

Hukuman Takzir boleh berlaku lebih keras daripada Hudud sekiranya mahkamah berpandangan ada keperluan untuk itu. Hukuman Takzir boleh mencapai tahap hukuman mati. Apatah lagi dalam kes rogol berkumpulan yang mendatangkan trauma dan kecederaan besar kepada mangsa dari sudut fizikal dan mental.

Oleh itu orang Islam di Malaysia sangat berharap Kerajaan Persekutuan lebih serius menggubal undang-undang berasaskan hukum jenayah Islam sebagai alternatif kepada undang-undang sivil sedia ada yang terbukti gagal menyekat jenayah rogol.

Umat Islam juga berharap dan  menyeru pengukuhan keluarga yang merupakan unit kecil yang terpenting dalam membina sebuah negara. Masyarakat perlu sama-sama diberikan ingatan demi peringatan akan kepentingan membentuk keluarga yang rukun berteraskan nilai-nilai Islam. 
seperti firman Allah s.w.t yang beraksud: 

  • Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka. (Surah At-Tahrim: 6)
Wallahu 'alam.


Lihat juga artikel ini...
Pihak kami sanggup pergi ke Sabah/Sarawak memberi maklumat lengkap.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails