Wednesday, October 04, 2017

Tipu Banglo, Siasat Menyeluruh Haramkan Aktiviti..















CONTOH rumah banglo yang ditawarkan oleh syarikat DBI Properties melalui laman Facebook milik Boy Iman.
PENGGUNA

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) wajar menjalankan siasatan menyeluruh ke atas tiga individu termasuk seorang ‘pelakon bergelar Datuk’ selain mengharamkan serta-merta sebarang aktiviti penjualan rumah sindiket perumahan itu di masa depan.
Aktivis PPIM, Muhammad Yusuf Azmi berkata, tindakan tegas itu perlu diambil bagi memastikan tiada lagi orang ramai yang bakal menjadi mangsa dengan sindiket penipuan perumahan tersebut.
Malah beliau turut menggesa supaya isteri ‘usahawan’ serta ejen-ejen syarikat penipuan itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Berita penahanan usahawan penipu ini bukan satu yang menggembirakan buat PPIM. Kita mendesak PDRM menjalankan siasatan menyeluruh dan bukan hanya menahan tiga individu terbabit selama dua hari sebaliknya turut menangkap isteri serta ejen-ejen yang masih bebas.
“PPIM juga melihat fenomena ini sebagai satu sindiket penipuan terbesar di Malaysia dan tindakan proaktif perlu dilakukan PDRM,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Yusuf mendesak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) supaya menyiasat akaun syarikat tersebut, akaun usahawan serta isteri dan keluarganya bagi mengetahui aliran wang tunai yang kononnya dilaburkan untuk pembinaan projek perumahan tersebut.
“PDRM dan LHDN perlu siasat akaun isterinya berdasarkan kepada gaya hidup wanita tersebut dengan menggayakan baju, beg tangan serta kereta mewah.
“Kita bukan menuduh tetapi duit itu mungkin hasil daripada duit orang yang menyertai projek perumahan tersebut,” katanya yang menyifatkan sindiket itu sebagai sindiket tidak bertanggungjawab.
Selain itu, Muhammad Yusuf mencadangkan supaya satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat sindiket penipuan tersebut yang terdiri daripada PDRM, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Ujarnya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) merampas dan menurunkan poster-poster promosi sindiket penipuan tersebut. Lapor Astro Awani.

Sementara itu, Pengarah Urusan DBI Properties, Datuk Noruliman A. Rahman ataupun lebih dikenali sebagai Boy Iman bersama dua lagi suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Ampang, Selangor dan Setapak di sini kelmarin berhubung kes penipuan jualan rumah banglo melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM6.2 juta.


Syarikat pelakon telefilem Blok 404 berusia 37 tahun dipercayai bekerjasama dengan syarikat Juta Kelulut Global Resources menawarkan rumah kepada para pembeli dengan harga lebih murah daripada harga pasaran berjumlah RM60,000 bagi sebuah banglo berkeluasan 154 meter persegi (1,650 kaki persegi).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Boy Iman ditangkap di Balai Polis Bukit Indah, Ampang selepas pihaknya menerima 188 laporan polis berkaitan penipuan jualan rumah yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua syarikat tersebut.
“Bagaimanapun, setelah bayaran dilunaskan, pembinaan rumah tersebut tidak dijalankan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan di pejabat suspek di Wisma DBI, Ampang, polis telah merampas sebuah kenderaan jenis Nissan Fairlady, sebuah kenderaan jenis BMW E92 bersama tiga telefon bimbit, sekeping sijil ijazah doktor falsafah daripada Good Samaritan Mission & International University dan pelbagai dokumen milik syarikatnya,” katanya dalam satu ke­nyataan di sini semalam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails