Tuesday, October 03, 2017

Catalonia Akan Umum Kemerdekaan Berpisah Dari Sepanyol.


 REUTERS - Puigdemont (kanan) dan Naib Presiden Catalonia, Oriol Junqueras menghadiri mesyuarat Kabinet sehari selepas pungutan suara kemerdekaan diharamkan di Barcelona, Sepanyol semalam.
BARCELONA, Sepanyol – Pemimpin rantau Catalonia, Carles Puigdemont membuka pintu kepada deklarasi kemerdekaan secara unilateral kelmarin selepas polis gagal menghalang pungutan suara yang menyaksikan 90 peratus pengundi memilih untuk berpisah daripada Sepanyol.
Walaupun polis Sepanyol menggunakan belantan dan peluru getah untuk menggugat referendum kemerdekaan Catalonia yang dianggap Madrid sebagai melanggar perlembagaan, Puigdemont berkata, seramai 2.26 juta atau 42 peratus pengundi telah mengundi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy yang enggan membenarkan Catalonia merdeka dan me­nuduh puak pemisah cuba mengugut negara itu.
Rajoy sebaliknya menggesa supaya semua pihak yang terlibat berunding untuk menentukan masa depan Catalonia.
Sementara itu, pegawai-pegawai Catalonia berkata, lebih 800 orang cedera dalam pertempuran dengan polis antirusuhan Sepanyol semasa pungutan suara diadakan kelmarin.
“Pada hari ini (kelmarin) yang penuh dengan harapan dan pen­deritaan ini, warga Catalonia berhak untuk memiliki sebuah negara Republik yang merdeka.
“Kerajaan saya akan menye­rahkan keputusan referendum ini kepada Parlimen Catalonia supaya ia dapat bertindak berdasarkan undang-undang pungutan suara,” kata Puigdemont dalam satu ucapan yang disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.
Undang-undang pungutan suara Catalonia yang dianggap Madrid bertentangan dengan perlembagaan, menyarankan pengisytiharan kemerdekaan secara unilateral oleh Parlimen Catalonia sekiranya majoriti pengundi memilih untuk berpisah dengan Sepanyol.
Rantau Catalonia terdiri daripada empat wilayah dan memiliki kira-kira 7.5 juta penduduk. – Reuters

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails