Friday, October 06, 2017

4,000 Nelayan PP Jadi Mangsa Projek Tambak Laut -SAM


SAHABAT Alam Malaysia (SAM) kesal serta bimbang berhubung ancaman berterusan ke atas kehidupan lebih 4,000 nelayan pantai Pulau Pinang berikutan projek tambak laut yang sedang dan akan dilaksanakan di negeri ini.

Walau pun banyak bantahan telah dibuat oleh nelayan-nelayan pantai yang terlibat dan SAM sebelum ini namun hingga sekarang belum menampakkan jaminan kukuh dari kerajaan Pulau Pinang bahawa projek tersebut tidak mengancam alam sekitar dan kehidupan masyarakat nelayan di negeri ini.

Kejadian terbaru yang menimpa nelayan Pantai Batu Uban di sini membuktikan bahawa pihak yang bertanggungjawab tidak memberi perhatian sewajarnya bagi membela nasib dan kehidupan nelayan kini dan pada masa akan datang.

Berikutan sikap acuh tak acuh pihak itu banyak aduan dan rungutan yang SAM terima daripada nelayan terbabit mengenai kemerosotan hasil tangkapan yang mereka alami berpunca dari projek tambak laut yang telah dilaksanakan di beberapa kawasan di negeri ini.

Kejadian pencemaran laut bertali arus melanda tempat mereka mencari rezeki manakala zon tangkapan bertambah sempit menyebabkan sumber perikanan kian pupus dan hasil tangkapan pula  merosot teruk sehingga mencecah 70 peratus setiap kali turun ke laut.

Sisa lumpur dari kawasan penambakan bukan saja mencemarkan air di kawasan pantai malah pukat nelayan turut musnah dilanda masalah ini. Antara kawasan yang terjejas akibat pelaksanaan projek tambak di negeri ini ialah di Tanjong Tokong, Sungai Gelugor, Batu Uban, Persiaran Gurney dan Oueensbay.

Ancaman yang lebih buruk mungkin berlaku ke atas persekitaran persisiran pantai serta marin dan kehidupan nelayan di negeri ini jika kerajaan negeri meneruskan rancangan projek tambak laut Penang South Reclamation (PSR) di bahagian selatan pulau yang melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan manusia melibatkan kawasan seluas  4,500 ekar.

Laporan Penilaian Kesan ke atas Alam Sekeliling (EIA) projek PSR ini menyatakan bahawa pada tahun 2015, sejumlah 2,757 nelayan berlesen beroperasi di zon impak projek. Harga borong ikan yang didarat di kawasan kajian EIA pada tahun 2015, dianggarkan bernilai RM42.09 juta, menyumbang kepada 12.4 peratus dariapda keseluruhan nilai harga borong di Pulau Pinang. 

Memandangkan impak serius projek tambak laut kepada ekosistem persisiran pantai serta marin dan seterusnya sektor perikanan, SAM menggesa kerajaan Pulau Pinang membatalkan segera cadangan melaksanakan projek tambak laut di negeri ini. – HARAKAHDAILY 5/10/2017

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails