Friday, June 23, 2017

Ratusan Lelaki Serang Tentera Bantu Pemberontak.. – AFP


REUTERS - ANGGOTA polis dan tentera menaiki sebuah trak di Pigkawayan, Filipina selepas kumpulan bersenjata berundur dari perkampungan tersebut kelmarin.

MANILA – Beratus-ratus lelaki bersenjata menyerang anggota tentera di sebuah kampung di selatan Filipina kelmarin dalam serangan hendap untuk membantu pemberontak Maute yang sedang berperang di bandar berhampiran, kata pihak berkuasa.
Lima orang awam yang digunakan sebagai perisai manusia hilang dan pasukan tentera masih memburu penyerang-penyerang yang segera berundur, kata jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Restituto Padilla kepada pemberita di Manila.
Padilla berkata, kumpulan lelaki bersenjata itu menyerang sebuah pos tentera pada waktu subuh di Pigkawayan, sebuah perkampungan yang terletak kira-kira 160 kilometer dari bandar Marawi di mana pejuang yang dikaitkan dengan kumpulan militan Daesh bertempur dengan pihak tentera sejak sebulan lalu.
Serangan itu mungkin taktik untuk mengalihkan perhatian pihak berkuasa dan mengurangkan tekanan terhadap pemberontak Islam Maute di Marawi, kata ketua polis tempatan, Inspektor Realan Mamon kepada stesen radio Filipina.
Menurut pihak berkuasa, penyerang berasal daripada Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), salah satu daripada empat kumpulan bersenjata di Pulau Mindanao, selatan Filipina.
Beberapa penganalisis berkata, pejuang BIFF telah berjanji untuk taat setia kepada kumpulan Daesh. – AFP
Imej yang berkaitan

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails