Thursday, May 25, 2017

Tawaran Teksi Percuma Dari Pemandu Muslim Di Manchester


Pemandu Muslim Tawar Teksi Percuma Di Manchester

LONDON – Simpati dengan nasib menimpa mangsa tragedi letupan di Arena Manchester kelmarin, pemandu teksi beragama Islam menawarkan perkhidmatan pengangkutan percuma di bandar itu.

Portal tempatan Mirror Online melaporkan, langkah tersebut dilakukan sebagai sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan sikap prasangka sesete­ngah pihak yang cuba mengaitkan serangan berdarah itu dengan imej Islam.
Lebih menarik lagi, langkah menawarkan perkhidmatan khas tersebut dengan sedia mengangkut penumpang secara percuma itu di sekitar Manchester turut dilakukan oleh beberapa pemandu teksi lain yang berketurunan Sikh.
Kisah keunikan pemandu-pemandu tek­si tersebut kemudian menjadi tular selepas dimuat naik ramai pengguna ke dalam media sosial hingga menerima pujian daripada kalangan netizen di seluruh negara berkenaan.
Seorang pengguna Twitter me­ngicau: “Ketika ibu saudara saya masih cemas cari rakan dan sepupu di Manchester selepas insiden serangan, seorang pemandu teksi beragama Islam tiba dan membantunya berbuat demikian.”
Kicauan seorang lagi netizen pula memuat naik status: “Pemandu teksi menawarkan perkhidmatan pengangkutan per­cuma untuk bawa saya keluar daripada kepungan polis di Manchester Arena rupa-rupanya beragama Islam.”
Dalam pada itu, seorang pemandu teksi berbangsa Sikh yang hanya dikenali sebagai AJ berkata, dia menawarkan khidmat percuma kepada mana-mana penumpang terutamanya pesakit yang terlibat dalam serangan itu ke hospital.
“Kebanyakan mereka pula tidak mempunyai wang yang cukup dan secara kebetulan menjadi mangsa terkandas di kawasan serangan tersebut,” katanya kepada stesen penyiaran tempatan Channel 4 News.
Bagi Datuk Bandar Metro Li­ver­­pool, Steve Rotheram, apa yang dilakukan oleh pemandu tek­si tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan spontan atas dasar kemanusiaan tanpa mengira latar belakang.
Tragedi letupan berdarah di Manchester Arena ketika konsert Ariana Grande kelmarin mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang serta mencederakan kira-kira 119 yang lain. – Agensi

Lihat: Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?

Peluang Kerja Kutip Buah Di Australia, Gaji RM40-48 Per Jam.. Bagaimana?


No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails