Wednesday, May 24, 2017

Isu LGBT, Pemuda PAS Bimbang kenyataan Pelangi Campaign.


1. DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kebimbangan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah badan bukan kerajaan Pelangi Campaign berhubung langkah Taylor’s University yang membatalkan Kempen LGBT “Courage in the face of adversity”. Kempen tersebut sepatutnya berlangsung pada 6-8 Jun 2017 di Taylor’s University Subang Jaya telah dibatalkan ekoran protes beberapa pihak yang menganggap kempen tersebut tidak sesuai diadakan di negara ini apatah lagi di dalam suasana umat Islam sedang menjalani ibadah di bulan Ramadhan.
2. Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pelangi Campaign bertajuk, “PELANGI CAMPAIGN REGRETS THE CANCELLATION OF TAYLOR’S PRIDE WEEK” bertarikh 18 Mei 2017 itu turut menyeru seluruh umat Islam di Malaysia bersikap lebih terbuka dan mencontohi pendekatan yang dibuat Datuk Bandar London, Sadiq Khan, yang meraikan kepelbagaian gender dengan menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Gay Muslim di bulan Ramadhan. Untuk rekod, Presiden Penaja kepada Pelangi Campaign ialah saudara Numan Afifi yang juga merupakan Setiausaha Organisasi DAPSY Subang.
3. DPPM ingin mengingatkan kepada Pelangi Campaign bahawa kebebasan hak asasi manusia ada hadnya di dalam Islam. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan wajib meletakkan sistem nilai Islam sebagai keutamaan apatah lagi apabila bertembung dengan isu transgender yang jelas mempunyai kaedah tersendiri di dalam Islam untuk menanganinya.
4. Menganjurkan program seperti Kempen LGBT “Courage in the face of adversity” yang antara acaranya ialah Perarakan LGBT sekaligus menyemarakkan budaya ini di kalangan rakyat Malaysia dan menjadi pintu kepada penyuburan homoseksual di negara ini.
5. DPPM turut berpandangan golongan keliru gender tidak boleh diketepikan bahkan wajib disantuni dengan usaha-usaha pemulihan dan bukannya menyemarakkan hak untuk berada di dalam kekeliruan gender. Kehidupan manusia wajib berteraskan kepada dua jenis jantina sahaja ialah lelaki dan wanita dan tidak selain daripada itu. Sekalipun Islam mengiktiraf wujudnya golongan khunsa, namun ia wajib untuk memilih mana-mana jantina selepas dibuktikan dengan kecenderungan dan ujian klinikal. Pengiktirafan ini sekaligus tidak bermakna Islam mengiktiraf amalan gay dan lesbian yang jelas sekali haram.
6. DPPM turut mempersoalkan adakah parti DAP turut sama merestui LGBT memandangkan keterlibatan setiausaha organisasi DAPSY Subang di dalam gerakan Pelangi Campaign ini? Jika benar, apakah pula pandangan rakan-rakan DAP di dalam Pakatan Harapan?
7. Persoalan untuk rakyat Malaysia khususnya umat Islam pula, bolehkah Pakatan Harapan diharapkan untuk memperkasakan Islam dan menjaga kesuciannya di dalam suasana seperti hari ini?
"Mara Menuju Cita"
"Sejahtera Bersama Islam"
AHMAD FADHLI SHAARI
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
24 Mei 2017 | 27 Sya'ban 1438 - HARAKAHDAILY 24/5/2017

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails