Sunday, February 05, 2017

DAP Dibidas Konon Hospital Patuh Syariah Pertama -Dr. Hilmi


hilmi

GEORGE TOWN – Semua hospital, klinik serta fasiliti kesihatan kerajaan di seluruh negara ini adalah patuh syariah, tegas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya.

Tambah beliau lagi, begitu juga dengan segala apa dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah sejak sekian lama.
Justeru, kata Dr. Hilmi yang juga Anggota Parlimen BN Balik Pulau, beliau agak terperanjat dengan kenyataan kerajaan DAP Pulau Pinang yang konon mahu membina sebuah hospital patuh syariah pertama di Malaysia.
“Nampaknya exco itu tidak tahu atau sengaja hendak menafikan usaha yang telah dibuat KKM selama ini untuk memastikan semua hospital, klinik, fasiliti kesihatan kerajaan patuh syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang dilaporkan berkata hospital itu dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Bayan Baru.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Dr. Hilmi menjelaskan, susulan kenyataan exco PKR pada November lalu itu, beliau mendapatkan pandangan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung maksud patuh syariah.
Berdasarkan pencerahan Jakim, beliau berpandangan semua yang dibuat oleh KKM hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah merangkumi pakaian seragam staf serta amalan standard di wad pesakit termasuk wad bersalin.
Bagi wad bersalin, Dr. Hilmi berkata kini si bapa yang beragama Islam dibenar untuk mengazankan atau qamat anaknya yang baharu dilahirkan.
“Cuma kalau hendak pilih doktor perempuan untuk kendali ibu bersalin belum boleh lagi kerana kita belum capai jumlah cukup doktor perempuan,” katanya menambah doktor perempuan kurang berminat bidang sakit puan kerana ia amat mencabar.
Selain itu Dr. Hilmi berkata semua ubat dan vaksin yang digunakan oleh KKM juga adalah halal.
“Yang tidak halal cuma rotavirus untuk pencegahan penyakit cirit-birit dan itu pun ia tidak dibeli oleh KKM. Ia hanya terdapat di hospital atau klinik swasta tertentu sahaja.
“Untuk pastikan sesuatu vaksin benar-benar bebas daripada ada unsur khinzir, bahagian farmasi KKM buat pemeriksaan DNA dan pastikan tidak ada DNA khinzir,” katanya.
Katanya jika ubat dan vaksin dikeluarkan dalam negara, pengeluar wajib mendapatkan pensijilan halal Jakim dan pengeluaran pula dilakukan oleh kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Dr Hilmi juga mendedahkan ramai pakar pembedahan beragama Islam melaksanakan amalan dianjur Islam iaitu menunaikan solat sunat sebelum memulakan pembedahan selain menjamak solat fardu jika pembedahan dijangka mengambil masa lama.
Selain itu, beliau berkata KKM juga telah melancarkan Kempen Hospital Mesra Ibadah tiga tahun lalu dengan pembimbing ditempatkan di hospital tertentu bagi mengajar cara sembahyang kepada pesakit walaupun dalam keadaan terlantar.
“Oleh itu, jika exco kerajaan negeri mahu mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP adalah yang pertama akan membina hospital patuh syariah di Malaysia, tengok-tengoklah dahulu apa yang telah kami buat di KKM,” katanya.
Media melaporkan hospital patuh syariah dikenali Hospital Islam Pulau Pinang yang akan dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kos RM280 juta itu dijangka beroperasi pada 2020. – BERNAMA

PERHATIAN:
Tawaran peluang kerja di Korea Selatan. Persiapan kewangan perlu hanya RM3,000 sahaja termasuk khidmat dan tiket pesawat.


1 comment:

Unknown said...

Biaq pi la depa nak buat hospital patuh syariah. Dok bangkang buat apa. Kalau betoi la hospital lagu tu ada kan baguih. Tak payah tengok jauh2 la. Baju misi tu pon tak patuh syariah dah. Ketat merening.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails