Wednesday, March 18, 2015

Husam Musa Dah Layak Tanding Presiden PAS..

husam-musa

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa (gambar) yang mendapat pencalonan mencukupi, kini layak untuk bertanding jawatan Presiden Pas bagi mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti itu Jun ini.

Husam mendapat pencalonan untuk jawatan Presiden daripada Pas Kawasan Batu Sapi pada 15 Mac lalu serta Pas Kawasan Kota Tinggi pada 14 Mac lalu.

Berdasarkan Perlembagaan Pas, pencalonan minimum daripada dua kawasan mencukupi untuk seseorang bertanding jawatan Presiden.

Kedudukan semasa pertanding­an jawatan Presiden menyaksikan Abdul Hadi ketika ini mendapat satu pencalonan daripada Pas Kawasan Shah Alam manakala Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga satu pencalonan (Pas Kawasan Kota Bharu).

Husam yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, merupakan Exco kerajaan negeri Kelantan semasa pentadbiran Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum digugurkan pada era pentadbiran Menteri Besar ketika ini, Datuk Ahmad Yakob.

Muktamar Pas pada tahun ini dijangka ‘panas’ dengan pertembungan tiga kumpulan iaitu kumpulan penyokong ulama, kumpulan Anwarinas serta kumpulan daripada Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma).

Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat bagi sesi 2015/2017 memberi tempoh bermula 1 Mac sehingga 21 April ini untuk kesemua 188 kawasan Pas mengadakan mesyuarat agung tahunan dan mengemukakan calon untuk pemilihan peringkat Pusat.

Abdul Hadi ketika ditanya pemberita pada 12 Mac lalu, menegaskan beliau bersedia dicabar dalam pemilihan parti itu sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-61 yang akan berlangsung di Kuala Selangor.

“Kalau ada pencabar, boleh cabar saya,” katanya yang akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak tahun 2002 selepas kematian Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai cukup pencalonan berhak untuk berbuat demikian selaras dengan Fasal 25 (2) Perlembagaan Pas yang memperuntukkan bahawa jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga orang Naib Presiden hendaklah dipilih dan dilantik dalam Muktamar Tahunan Pas setiap dua tahun.

Sementara itu, Tuan Ibrahim sejak awal lagi sudah menolak pencalonan Pas Kawasan Kota Bharu dengan alasan kedudukan Abdul Hadi sebagai Presiden perlu dikekalkan.

“(Naib Presiden Pas) Datuk Husam (Musa) pernah sebut, 10 kali ganda beliau pun belum mampu bersaing dengan Presiden (Abdul Hadi). Saya ini pula, mungkin 52 kali ganda saya pun tak mampu lawan beliau,” kata Tuan Ibrahim. – UTUSAN

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Baru-baru ini diberitakan di Selangor, ada program Presiden PAS yang beliau tidak dapat hadir digantikan oleh Datuk Husam atas permintaan Presiden PAS sendiri. Jadi, kalau ada pertandingan, hal ini suatu yang baik. Insya Allah!

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?
E-Buku IH-101: Menjelang Muktamar 2015. Tenang, Tapi Ada Buaya?
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails