Thursday, March 19, 2015

Hudud: 4 Perkara, Tersirat Dibalik Tekanan DAP? -HarakahDaily





Jangan salahkan PAS jika PR berpecah
SERANGAN berterusan pimpinan DAP terhadap PAS di atas isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) atau hudud menimbulkan tanda tanya dalam kalangan umat Islam mengenai apakah yang tersirat di sebalik tekanan ini.  

PAS telahpun menjelaskan dan mengikuti apa yang diingini dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. PAS telah memperjuangkan EKJS sebelum wujudnya Barisan Alternatif mahupun PR. PAS yang ada hari ini adalah PAS yang sama yang ingin melihat Islam didaulatkan.

Pembentangan semula enakman ini pada 18 Mac di Dewan Undangan Negeri Kelantan hanyalah 'pindaan' bagi menambah kebaikan dan menjelaskan kekeliruan. Hal ini telah dijelaskan dalam mesyuarat PR.


Selepas mesyuarat, DAP memperbesarkan isu ini kononnya PAS hendak membentangkan sesuatu yang baru dan sebab itulah mereka membantah.


Soalan pertama


Apakah kalau tak ada sebarang pindaan, apakah DAP akan sokong EKJS?
DAP juga mendakwa bahawa kerjasama antara kerajaan Kelantan di bawah PAS dan Kerajaan Pusat di bawah BN adalah petanda 'adanya usaha penyatuan PAS dan Umno.’


Pelbagai penjelasan telah dibuat, bahawa pelaksanaan enakmen ini memerlukan sokongan kerajaan Pusat kerana polis, lokap, penjara dan sebagainya masih di bawah kawalan kerajaan Pusat.


Soalan kedua


Apakah kalau Kerajaan Pusat tidak bagi kerjasama, maka DAP akan sokong EKJS?

Kemudian, ada yang mencadangkan utamakan penyelesaian isu banjir daripada EKJS. Bantuan banjir dan proses pembangunan semula mangsa banjir terus berjalan dan tidak terhenti dengan pembentangan enakmen Jenayah Syariah ini.


Bagaimana pembentangan enakmen ini boleh mengganggu usaha pembangunan semula banjir? Logik soalan ini kena diajukan pada mereka yang bertanya.


Soalan ketiga: 


Apakah kalau selesai isu banjir, maka DAP akan sokong EKJS?

Sebenarnya, rakyat Malaysia, termasuklah PAS sudah tahu DAP ini memang menentang perlaksanaan EKJS. Mesej sudah sampai ke rakyat. PAS pun tidak harapkan sokongan DAP. PAS cuba melaksanakan EKJS melalui jalan demokrasi, dan itupun kini ditentang oleh parti yang dikatakan menjunjung demokrasi.


Soalan keempat: 


Oleh itu, apa lagi yang DAP mahu? Apakah DAP mahu Pakatan Rakyat berpecah dan Umno-BN terus berkuasa?

Kalau BN tidak berpecah kerana isu 1MDB, serangan Dr Mahathir dan isu rasuah yang menyelubungi Umno, apakah wajar Pakatan Rakyat pecah kerana EKJS?


PAS tidak mahu Pakatan Rakyat berpecah. PAS cuma harapkan penjenayah beragama Islam untuk diadili oleh hukum jenayah Islam. Salahkah ini? 


Oleh itu, jangan salahkan PAS kalau Pakatan Rakyat pecah. – HARAKAHDAILY 18/3/2015

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails