Tuesday, March 25, 2014

Mengapa Pilih Terowong RM340J Sedangkan Ada Pilihan RM50J?


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS terus mempersoal pembinaan terowong pejalan kaki menghubungkan Muzium Negara dengan KL Sentral dengan kos RM340 juta sedangkan mempunyai pilihan murah dan selamat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, penjelasan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Azhar Abdul Hamid bahawa projek itu baik untuk rakyat, adalah alasan terlalu ringkas.

"Beliau kena beri justifikasi yang munasabah.

"Adakah bermakna rakyat Malaysia suka jalan dalam terowong," soal beliau pada sidang media di parlimen hari ini.

Kos pembinaan terowong sepanjang 300 meter itu menjadi pertikaian banyak pihak dalam keadaan terdapat pilihan membina jejantas menghubungkan kedua-dua tempat tersebut dengan kos hanya RM50 juta yang juga selesa dan selamat untuk pengguna.

Selain kos yang tinggi, turut dipersoal termasuk resiko keselamatan yang tinggi, kerana pembinaan itu terpaksa memotong tujuh beam sokongan pada struktur bangunan KL Sentral.

Mengulas alasan Azhar bahawa ianya turut dibina di negara di Jepun, Taiwan, Korea Selatan dan London, Raja Kamarul berkata di negera-negara tersebut tidak mempunyai kawasan yang cukup, terlalu padat dan tiada pilihan lain.

"Saya lihat kawasan di KL Sentral itu masih banyak. Ianya bukan kawasan padat.

"Kita ada pilihan. Kenapa tak buat yang paling senang, jimat, logik dan straight forward," katanya.

Dalam pada itu, Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, contoh pembinaan jejantas yang baik adalah seperti restoran jejantas Sungai Buloh.

Menurutnya, selain selesa dan selamat, jejantas itu juga dakwanya dibuat dengan kos sekitar hanya RM50 juta.

Sebelum ini beliau mendakwa dengan kos RM340 juta, kerajaan boleh membina 8,000 unit rumah kos rendah dengan harga RM42,000 seunit.

Sebelum ini, Azhar berkata kos terowong itu terlalu tinggi kerana perlu melantik kontraktor berpengalaman selain ia perlu dibuat secara berperingkat kerana membabitkan kawasan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

Beliau turut mendakwa terowong tersebut baik untuk rakyat. (HD)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails