Sunday, March 23, 2014

Amaran Angin Kencang, Laut Bergelora Hingga Khamis. Bot Kecil Bahaya.

KUALA LUMPUR 23 Mac - Angin kencang dan laut bergelora (kategori pertama) di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Bintulu, Mukah dan Rejang di Sarawak diramal berterusan sehingga Khamis ini (27 Mac).

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata, keadaan angin dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Menurut kenyataan itu, angin kencang dan laut bergelora turut diramalkan di kawasan perairan Tioman, Reef South dan Samui.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang berlaku di kawasan Sabah (Pantai Barat, Kudat dan Sandakan), Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak (Miri) Layang-layang, Sulu dan Palawan dijangka berterusan sehingga Khamis ini.

Keadaan itu menyebabkan angin kencang antara 50 hingga 60 kmsj serta ombak setinggi 4.5 meter dan berbahaya kepada aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

Kenyataan itu turut menyebut amaran ribut petir di kawasan Perak dan Selat Melaka Utara dijangka berterusan sehingga lewat pagi ini.

Jabatan itu menyatakan keadaan itu menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak setinggi 3.5 meter.

Keadaan itu berbahaya kepada bot kecil. - BERNAMA

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails