Tuesday, March 25, 2014

Ini Petunjuk Terbaharu Di Kawasan Pencarian Australia.






















KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Australia mengesan dua objek di kawasan pencarian Australia, satu berbentuk bulat dan satu lagi segi empat tepat yang berkemungkinan mempunyai kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
  
Perkembangan ini merupakan petunjuk terbaharu di kawasan pencarian  Australia bagi menjejaki pesawat tersebut tetapi ia belum disahkan.
  
"Beberapa minit yang lalu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya dari Australia,  Tony Abbott, memaklumkannya bahawa sebuah pesawat Australia mengesan kedua-dua objek itu di kawasan pencarian Australia," kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai perkembangann terkini operasi mencari dan menyelamat MH370, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
  
Katanya HMAS Success, kapal Tentera Laut Australia, berada di sekitar kawasan itu dan ada kemungkinan objek tersebut dapat diambil dalam tempoh beberapa jam atau mungkin seawal pagi esok.
  
Hishammuddin berkata dua objek berwarna oren berukuran sekitar satu meter panjang dan sebuah tong putih dikesan oleh pesawat berkenaan tetapi objek-objek tersebut belum dikenal pasti dan tiada bukti untuk mengaitkannya dengan MH370.

Beliau juga berkata, pagi tadi Malaysia menerima satu lagi set imej daripada satelit Perancis dan kali ini dirakam oleh kamera.
  
Beliau berkata imej itu dirakam semalam dan telah disalurkan kepada Pusat Penyelarasan Menyelamat Australia (RCC).
  
Misi pencarian MH370 telah diperhebatkan di selatan Lautan Hindi selepas  Australia pada Khamis lepas berkata imej satelit mengesan objek yang menimbulkan kesangsian yang mungkin berkaitan dengan MH370 di kawasan perairan kira-kira 2,400 kilometer dari Perth.
  
Penerbangan MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, dilaporkan hilang kira-kira pukul 1.30 pagi pada 8 Mac di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, 49 minit setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu membawa 239 penumpang dan anak kapal.
  
Mengenai operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Hishammuddin berkata tiga kawasan pencarian, yang dianggarkan kira-kira 20,000 batu nautika persegi telah dikenal pasti untuk operasi hari ini.
  
"RCC Australia menjangka 10 pesawat akan digunakan dalam usaha pencarian," kata beliau.
  
Beliau juga berkata bahawa di koridor utara, Turkmenistan telah mengesahkan bahawa radar negara itu tidak mengesan apa-apa isyarat berhubung MH370.
  
Katanya setiap maklumat yang diterima daripada rakan-rakan di koridor utara membantu untuk mengecilkan saiz kawasan pencarian. - Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails