Friday, March 28, 2014

Konsert Artis Calvin Harris Tetap Diadakan Ahad ini -Lulus JPM & KBS

Calvin Harris akan beraksi di Helipad, Sepang sempena perlumbaan Grand Prix Formula One 2014. Gambar daripada laman Facebook Harris.



HALAMAN HIBURAN
Konsert artis terkemuka Calvin Harris tetap akan diadakan pada Ahad ini selepas perlumbaan Grand Prix Formula One (F1) Petronas Malaysia 2014, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali.

Razlan berkata perkara itu dimaklumkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan pada Rabu untuk konsert itu diteruskan.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini memaklumkan konsert sampingan yang diadakan bagi memeriahkan perlumbaan Grand Prix Formula One 2014 di perkarangan Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dibatalkan.  Pembatalan itu dibuat bagi menghormati insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

"Kami sensitif dengan insiden MH370 tetapi kami terpaksa meneruskan konsert berkenaan kerana ia termasuk dalam pakej pembelian tiket perlumbaan F1, kebanyakan pembeli tiket merupakan pelancong asing.
"Kebanyakan mereka datang untuk menyaksikan perlumbaan F1 dan Calvin Harris... jadi kami tidak boleh membatalkan konsert tersebut kerana ia menjejaskan kedatangan pelancong asing (peminat F1) ke negara ini," katanya hari ini.

Razlan menjelaskan konsert di perkarangan KLCC merupakan konsert percuma dan terbuka kepada orang ramai iaitu berbeza dengan konsert selepas perlumbaan F1 yang akan diadakan di Helipad, Sepang.

Sementara itu Razlan berkata sebelum perlumbaan pada Ahad ini, semua pelumba F1 akan bertafakur seminit bagi menghormati insiden MH370. Katanya para pelumba juga akan menampalkan pelekat #rememberingMH370 ataupun #prayforMH370 pada topi keledar masing-masing.

"Dengan berbuat demikian, pelumba F1 memahami perasaan rakyat Malaysia yang masih bersedih dengan insiden MH370, mereka dengan rendah diri melakukannya, mereka menjadikan sukan sebagai alat untuk menyatukan masyarakat di seluruh dunia," kata Razlan.

Sementara itu Razlan berkata beliau menyasarkan penjualan tiket bagi perlumbaan F1 tahun ini sebanyak 65,000 sahaja iaitu lebih rendah daripada tahun sebelumnya.

"Pada penganjuran sebelum ini, kita letak sasaran 90,000, tiket terjual lebih 80,000. Tetapi kali ini, jumlah tiket yang terjual belum lagi mencapai 60,000. Kebiasaannya hampir 600 tiket terjual di saat akhir setiap hari tetapi kali ini hanya 100 sehingga 200 tiket sahaja sehari.
"Insiden MH370 bukan faktor utama penjualan tiket perlahan tetapi sebab peraturan baru F1 iaitu penggunaan enjin dengan deruman bunyi yang perlahan tidak seperti tahun sebelum ini memberi kesan kepada peminat untuk menyaksikan perlumbaan F1," katanya. – Bernama, 27 Mac, 2014.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails