Thursday, December 13, 2012

Mengapa Kedai Mesin Slot Dibuka Semula Di P.Pg?


 
KL: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) memandang serius munculnya permainan judi mesin slot yang dilaporkan beroperasi di kebanyakan lokasi di negeri Pulau Pinang.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, gejala yang dikatakan tiba-tiba berkembang di negeri tersebut seharusnya dipandang berat oleh pihak berkuasa tempatan kerana ia jelas akan menggalakkan tabiat berjudi yang melibatkan pelajar ataupun remaja.

“Soalnya kenapa kedai-kedai mesin slot yang sebelum ini ditutup kini dibuka semula tanpa tindakan oleh pihak berkuasa,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, pihak berkuasa sepatutnya boleh menghidu operasi kedai-kedai tersebut yang berkemungkinan didalangi sindiket tertentu.

“Kami berpendapat pembasmian pusat judi seperti ini hendaklah segera dikuatkuasakan sehingga ke akar umbi,” ujarnya.

Menurutnya, maklumat dari orang ramai boleh diperolehi jika pihak berkuasa bersungguh untuk mengesan siapa yang terlibat mendalangi kedai judi tersebut kerana ia bukan beroperasi di kawasan terpencil malah secara terbuka di kawasan taman-taman penduduk.

“Kami hairan kenapa pihak berkuasa mengambil masa begitu lama untuk bertindak sedangkan kedai-kedai tersebut sudah beroperasi sedemikian lama,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, jika benar terdapat sindiket yang mendalangi operasi kedai-kedai tersebut maka pihak polis sewajarnya melakukan siasatan dan mengesan mereka yang terlibat tidak mengira pangkat atau kedudukan. Tegasnya, gejala memancing pelajar sekolah untuk berjinak dengan tabiat berjudi tidak boleh dipandang ringan kerana kini terdapat tanda-tanda budaya berjudi semakin berkembang luas dalam masyarakat.

Menurut beliau, sasaran di kalangan anak muda tidak menghairankan kerana seperti gejala minum arak, merokok dan dadah sememangnya gejala bermain dengan mesin judi adalah permulaan untuk mereka kemudiannya dilibatkan dengan gejala berjudi yang lebih besar seperti pertaruhan dalam pelbagai bentuk, membeli nombor ekor sehingga berani berkunjung ke kasino.

Sepatutnya, kata Mohd Azmi pihak berkuasa boleh menyiasat dan mengesan pengusaha kedai mesin judi di kawasan yang dikenal pasti dikunjungi pelajar sekolah. “Kami juga berpendapat pihak Persatuan penduduk juga seharusnya mengambil inisiatif untuk melaporkan gejala ini kepada pihak berkuasa dan jika maseh tidak berkesan dilapor terus ke Bukit Aman untuk diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata, gejala ramai pelajar Melayu berbanding kaum lain berkunjung di kedai mesin judi sepatutnya menyedarkan semua pihak betapa anak Melayu sangat mudah terpengaruh dengan tabiat buruk itu, oleh itu segala langkah tegas bagi membasmi hal tersebut tidak boleh dilengah lagi. (Hrkh)

1 comment:

kampong lad said...

jgn buat press statement saja, buat laporan terus kpd 1. presiden mppp & mpsp 2. ketua polis pp, igp & kdn. follow-up jgn tak follow-up.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails