Saturday, December 15, 2012

Hijrah Dari Rock Kpd Lagu Ketuhanan..




HALAMAN HIBURAN

OPICK atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus mungkin tidak memiliki nama yang gah seumpama penyanyi Once mahupun Ahmad Dhani di Malaysia kerana dia merupakan seorang penyanyi lagu-lagu berunsur ketuhanan.

Begitupun, lagu-lagu berunsur sebegitu hasil nukilan penyanyi yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia itu sangat popular dan ada di antaranya menjadi siulan di Malaysia sehingga kini. Salah satu lagu yang paling popular ciptaannya sudah tentu yang berjudul, Dealova yang pernah dialunkan Once bersama kumpulan Dewa, malah penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza dalam album Tahajjud Cinta juga menyanyikan lagu Opick iaitu Ketika Cinta dengan susunan muzik baharu.

Lagu itu juga menjadi lagu tema filem Indonesia yang berjudul, Perempuan Berkalung Sorban. Bertemu dengan Opick ketika kedatangannya ke Malaysia di Restoran Saloma Bistro, Kuala Lumpur baru-baru ini, Opick mendedahkan, Dealova sudah lama diciptanya tetapi tiada seorang pun penyanyi di Indonesia mahu menyanyikannya.

Mengenali Opick, dia sebenarnya seorang penyanyi rock yang memiliki vokal yang hebat tetapi lagu-lagu ciptaannya bagaimanapun tidak diterima peminat kerana semuanya berunsur protes. Kehidupan akan datang memang tidak mampu ditebak. Opick yang dulunya tidak pernah menyebut nama Tuhan dalam lagu-lagunya kini dikenali sebagai penyanyi yang mencipta lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.

Bukan sahaja lagu-lagunya berunsurkan ketuhanan malah dirinya juga berubah yang mana ia selalu dibaluti oleh jubah dan juga serban.

"Dulu hidup saya gelap. Saya suka protes dan seorang pemarah. Malah karya-karya saya juga penuh dengan rasa kebencian terhadap kerajaan mahupun apa jua perkara yang saya tidak suka.
"Tiba-tiba Allah bagi saya hidayah untuk mendekatinya dan sentiasa tulis tentang Dia," akuinya yang kini sudah menghasilkan lapan album berunsurkan ketuhanan.

Sangat jarang, lagu-lagu yang bercerita tentang ketuhanan mampu sukses secara komersial di pasaran namun Opick membuktikannya sebaliknya. Album pertamanya berjudul Istiqhfar pada tahun 2005 begitu sukses. Sebulan di pasaran, Istighfar berjaya dijual lebih 300,000 unit dan mencapai status 'double platinum'.

Kejayaan Opick bukan sampai di situ sahaja malah selepas album keduanya berjudul Semesta Bertasbih keluar pada tahun 2006, ia turut mencapai kejayaan. Tahun demi tahun, album-albumnya yang lain turut keluar iaitu Ya Rahman (2007), Cahaya Hati (2008), Di Bawah Langit (2009), Shollu Ala Muhammad (2010), The Best Of Opick (2011) dan kini hadir ke Malaysia untuk mempromosikan album terbaharunya berjudul Salam Ya Rosulullah terbitan syarikatnya, Tombo Ati Production yang diedarkan secara eksklusif oleh Inteam Records Sdn. Bhd.

Memuatkan 10 buah lagu termasuk Anta Allah, Ya Hannan Ya Mannan, Bila Waktu T'lah Berakhir, Salam Ya Rosulullah, Syukur Atas Karunia, dan Dealova yang dinyanyikan dengan gubahan muzik baharu sesuai dengan jiwanya.

Selain menjadi penyanyi solo, Opick juga tidak mengehadkan dirinya untuk berkolaborasi bersama artis-artis terkenal seperti Melly Goeslow melalui lagu Takdir serta penyanyi remaja, Amanda menerusi lagu Alhamdulillah. (IH)

LAGU Dealova menjadi pencetus kepada peminat muzik untuk mengenali dengan lebih dekat karyawan muzik berbakat besar ini.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails