Saturday, December 15, 2012

Islam Itu Mudah, Muslimah.. Solat Di Mana-mana.


 
“HIDAYAH, jom kita singgah surau kejap untuk solat  Asar.  Waktu dah masuk nih…”  Nabilah menepuk lembut bahu Hidayah sambil matanya memandang ke arah surau berdekatan.

“Takpe, aku solat kat rumah jelah.  Aku tak bawa telekung.”  Balas Hidayah sambil memuncungkan bibirnya.

“Aku pun tak bawa telekung. Aku pakai pakaian ni je untuk bersolat. Alaa… kau pinjam je telekung kat surau tu…” Nabilah mencadangkan.

“Alaaaa, tak naklah. Telekung kat situ tak best. Ada bau. Aku tak boleh pakai pakaian aku ni untuk bersolat macam kau. Kau tengoklah tudung dan baju aku ni, nipis dan jarang…!" Jawab Hidayah sambil menggosok kain baju dan tudungnya dengan hujung jari.

Bukankah biasa kita dengar perbualan seperti di atas? Inilah antara senario yang selalu ada dalam masyarakat kita. Sepatutnya pakaian yang mereka pakai samada ke tempat kerja, belajar, beraktiviti atau bersantai boleh dijadikan pakaian untuk solat juga. Kaum lelaki mungkin jarang kita jumpa seperti senario di atas. Biasanya senario tersebut berlaku di kalangan Muslimah.

Ramai wanita tidak berasa yakin dengan pakaian yang mereka pakai untuk dijadikan sebagai pakaian untuk solat. Kerana apa? Kerana mereka sendiri sedar bahawa pakaian tersebut tidak memenuhi tuntutan syara`. Antaranya kerana nipis, ketat, sendat, mendedahkan aurat sebahagiannya dan lain-lain lagi. Itu bermakna mereka tidak menutup aurat sepenuhnya ketika berpakaian harian. Dan ini ternyata suatu yang dilarang agama dan berdosa.


Buat wanita yang berpakaian menutup aurat secara sempurna, kalian sudah boleh mengerjakan solat dengan pakaian tersebut. Tidak perlu telekung lagi. Tidak perlu bawa beg telekung lagi. Dan tak perlu meminjam telekung yang berbau kurang enak yang selalu terdapat di surau-surau lagi.

Dengannya juga para muslimah terhindar dari sifat menangguhkan solat yang selalu mereka lakukan lantaran tiada telekung untuk digunakan. Sekaligus, dapat mengecap pahala amalan utama iaitu mengerjakan solat pada awal waktu di tempat yang sesuai dengan berpakaian harian yang menutup aurat dengan sempurna.



Islam ini mudah. Apabila kalian tidak mengikuti ajaran Islam sepenuhnya, bermakna kalian menyusahkan diri kalian sendiri. Bertelekung ketika solat adalah antara kelecehan yang dicipta sendiri oleh wanita dan ia merupakan paradigma wanita Melayu. Kefahaman agama boleh menganjakkan kalian dari paradigma tersebut.

Lelaki Melayu dulunya juga berparadigma bahawa apabila mahu solat, mesti dengan kain pelikat dan baju Melayu. Kini mereka telah menganjak keluar dari paradigma itu. Ramai dengan selamba memakai seluar panjang, baju-T dan tanpa kopiah mengerjakan solat. Ini memudahkan mereka.


Wanita juga boleh menganjakkan paradigma seperti yang telah disebut di atas. Asalkan faham tuntutan agama dan tepatinya, in shaa’ ALLAH beres!

Tulisan ini bukan berniat mahu menyuruh muslimin meninggalkan jubah dan serban, dan muslimah meninggalkan telekung yang berwarna putih ketika bersolat. Tetapi ia sekadar solusi mudah dan cepat buat Muslim dalam keadaan-keadaan tertentu. “Mudahkanlah, janganlah disusahkan.”

Dan yang lebih utama dari tulisan ini ialah untuk mengajak kita semua (terutamanya Muslimah) bermuhasabah mengenai pakaian harian kita, samada ia sudah betul-betul menepati tuntutan syara` sehingga ia boleh dijadikan sebagai pakaian solat? Atau tidak? (
muzir.wordpress.com)

Komen Weblog Ibnu Hasyim
: Pereka-pereka fesyen eloklah cipta dan pasarkan dengan harga yang sesuai pakaian wanita, berkonsepkan 'pakaian harian adalah pakaian solat kita'.


Semoga kita semua dikurniakan hidayah dan taufiq oleh ALLAH Ta`ala, amin… 
(IH)

2 comments:

Anonymous said...

Salam bang mat...tolong siarkan artikel falsafah solat.
Contohnya...dudul antara 2 sujud melambangkan ketenangan seorang hamba

Benci setan bertudung said...

Hijab hanya budayalah bangang, Islam tidak wajibkan tudung dan hijablah bangang.... Islam hanya pesan suruh tutup aurat tak kira dengan topi saji ke,tudung saji ker asalkan tutup aurat,kalau pakai hijab perangai macam setan buat apa.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails