Tuesday, December 11, 2012

Kayuh & Ubah! 7 Tuntutan Kpd MB N9

Para peserta bergambar kenangan di perkarangan bangunan SUK N9


Memo diserahkan kepada Setiausaha Sulit MB N9
SEREMBAN: Setelah berkayuh selama empat hari berturut-turut, 20 peserta "Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0" berjaya menyerahkan memorandum menuntut perubahan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan semalam.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Syarul Faizal serta ketua pembangkang Negeri Sembilan  Anthony Loke. Sebelum itu, pintu pagar pejabat MB Negeri Sembilan yang masih terbuka, ditutup dengan serta merta apabila para pengayuh datang.

7 tuntutan nasional dan tuntutan tempatan dalam memo.

Para pengayuh yang bernaung di bawah NGO Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) telah melalui tujuh daerah utama di negeri itu iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu dan berhenti di 23 pusat hentian termasuk markas PAS. Dalam pada itu, sepanjang kayuhan itu mereka mengenalpasti tujuh isu di Negeri Sembilan yang perlu diberikan perhatian.

Tujuh isu yang dikenalpasti peserta kempen ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0’ ialah:

1.    Penduduk Taman Mambau, Seremban menghadapi masalah gangguan bekalan air kerana ketiadaan tangki air. Bekalan air kadang kala terputus sehingga lima hari. Keadaan jalan raya di taman perumahan itu juga dalam keadaan teruk.

2.    Penduduk dan peniaga berdekatan pantai Telok Kemang, Port Dickson meminta pihak berkenaan agar tidak menswastakan pantai Telok Kemang dan pantai tersebut tidak ditambak. Mereka juga meminta agar air longkang tidak disalurkan ke laut dan memohon gerai, tandas awam serta bangunan buruk digantikan dengan bangunan baru.

Ketua Pembangkang N9, Anthony Loke turut menyambut kedatangan peserta kayuhan
3.    Masalah penduduk Taman Koperasi di Pedas, Rembau yang tidak mempunyai tangki air besar (central water tank) meskipun sudah tinggal di taman perumahan itu lebih 22 tahun.

4.    Masalah hak tanah perladangan di Kampung Serampang Indah (Gatco) di Jempol.

5.    Peneroka Felda di Felda Raja Alias 1, 2 dan 3 telah mengemukakan masalah seperti generasi kedua (anak peneroka) yang tidak mempunyai masa depan yang cerah kerana mereka tidak terlibat dalam skim peneroka, Peneroka juga terpaksa menanggung hutang aktiviti penanaman semula yang tinggi.

6.    Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Ladang Senawang, Sungai Gadut menyerahkan memorandum kepada peserta kempen berhubung masalah pengambilan padang sekolah tersebut untuk sebuah projek jejantas. Mereka turut menyatakan kebimbangan tahap keselamatan dan kesihatan murid kerana projak itu berdekatan dengan kawasan sekolah.

7.    Penduduk estet Ladang Kirby menuntut perumahan alternatif disediakan apabila mereka ditamatkan kerja.

Program pengayuhan menjelajah Negeri Sembilan ini berakhir dengan laungan "Kayuh Kayuh, Kayuh Rakyat!" (IH/Hrkh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails