Monday, September 05, 2011

Sejarah Merdeka Telah Di'UMNO'kan -Tuan Ibrahim

BANDAR JENGKA, 5 Sept 11: Sejarah kemerdekaan negara telah ‘diumnokan’ berdasarkan cara kerajaan menyampaikan penceritaan sejarah kemerdekaan dengan hanya menonjolkan tokoh Umno.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepatutnya harus dibezakan antara perjuangan parti dengan perjuangan kemerdekaan negara.

“Sebab itu akibatnya dapat lihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat.

“Kerajaan dan media awam mesti jujur dengan fakta sejarah, pejuang-pejuang yang telah terkorban patut dihargai jasa mereka, bukannya dengan hanya menonjolkan peranan Umno.

“Sekarang ini hanya Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman yang ditonjolkan sebagai pejuang kemerdekaan. Tak disebutkan langsung perjuangan anak Melayu yang menentang penjajah Inggeris sehingga berkorban nyawa selain Umno.

“Di Pahang sendiri muncul ramai pejuang Islam yang mencetuskan perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah sejak zaman Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan yang seangkatan dengan mereka,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Raya Anak Perantauan di dataran Jengka 18 di sini, kelmarin.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di seluruh negara terdapat nama-nama seperti Tok Janggut, Dato’ Maharajalela, Dol Said, Abdul Rahman Limbong, Tok Pulau Manis, Rosli Dhobi dan ramai lagi. Tambahnya, hinggalah kepada era menentang penjajah sekitar tahun 1940-an nama-nama seperti Burhanuddin Al-Helmy, Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam dan lain-lain.

“Masalahnya rentetan nama-nama pejuang ini dipadamkan daripada sejarah seolah-olah hanya Umno yang berjuang menuntut kemerdekaan. Perlu disedari akibatnya dapat dilihat kurangnya semangat patriotik di kalangan rakyat. Contoh paling mudah ialah mereka enggan kibar bendera,” katanya.

Dalam pada itu, PAS Pusat akan meminta Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu menyaman segera akhbar Utusan Malaysia kerana menyelewengkan fakta sebenar ucapan dalam satu ceramah beliau demi kepentingan politik. Tuan Ibrahim berkata, tindakan akhbar milik Umno itu tidak boleh dibiarkan berterusan memutarbelitkan isu kerana mahu menggambarkan PAS menyokong komunis.

Beliau berkata, pada hakikatnya Mohamad tidak menyebut langsung menyokong perjuangan komunis dalam ceramahnya itu.

“Isu serangan Rumah Pasung Bukit Kepong, Mat Indera dan komunis sengaja diperbesarkan oleh akhbar lidah rasmi Umno itu untuk meraih kepentingan politik. Walhal berdasarkan video rakaman Mat Sabu tidak sepatahpun menyebut tentang menyokong komunis dalam ceramahnya.

“Tetapi propaganda tersebut dimainkan secara halus dan berulang-ulang sebagai cubaan mengaitkan PAS dengan komunis dan DAP supaya dibenci oleh orang Melayu. Semuanya kerana kepentingan politik.

“Sebab itu PAS Pusat akan meminta Mat Sabu segerakan saman akhbar Utusan Malaysia dan media Umno lain bagi meminta mahkamah menghentikan propaganda itu,” katanya.

Kira-kira 500 hadir dalam Sambutan Hari Raya Anak Perantauan anjuran Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) bagi meraikan generasi muda yang bekerja di luar negeri ini. (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails