Sunday, September 04, 2011

Dana MP BN RM2.5J, Hadapi PRU 13 -Sin Chew Daily

KL, 4 Sept 11: Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) disediakan dana wang tunai khas oleh kerajaan pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan prasarana secara langsung di bahagian Parlimen masing-masing ─ ketika pilihan raya umum ke-13 semakin dekat sudah hangat diperkatakan.

BN menang 140 daripada 222 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum 2008. Akhbar harian Sin Chew Daily melaporkan bahawa peruntukan yang disediakan boleh mencecah sehingga RM2.5 juta bagi sesetengah bahagian. Bagaimanapun tiada dana bagi kawasan yang dikategorikan sebagai “hitam”, di mana BN hilang kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

Beberapa ahli Parlimen yang dihubungi mengesahkan mereka telah disediakan peruntukan khas, yang dibayar antara RM500,000 dan RM2.5 juta ─ bergantung pada jumlah pemilih dan sama ada kerusi terbabit dimenangi BN ataupun sebaliknya. Seorang wakil rakyat berkata, pembayaran sudah mula dikeluarkan sejak sebelum sambutan Aidilfitri dan akan terus dibayar secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Mengambil kira perkembangan itu, The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya umum ke-13 dijangka akan berlangsung akhir suku pertama ataupun awal suku kedua tahun depan.

“Peruntukan ini membolehkan wakil rakyat mengadakan aktiviti mengikut keperluan kawasan dan pengundi masing-masing,” kata wakil rakyat itu sambil menambah, “malah ia memudahkan kami menjalankan aktiviti dengan cepat dan segera, yang menggembirakan pengundi.”

“Itu kelebihan. Pengundi dapat melihat permintaan mereka ditunaikan dengan segera. Mereka dapat respons positif,” kata sumber itu.

The Malaysian Insider difahamkan, jika seorang ahli Parlimen diperuntukkan RM2 juta, mereka sudah pun menerima peringkat pertama peruntukan sebanyak RM400,000 sebelum Aidilfitri. Difahamkan, mereka yang diperuntukan RM1 juta telah disalurkan RM250,000.

“Kawasan yang BN kalah pada pilihan raya umum lalu hanya disalurkan RM500,000. Kepimpinan BN telah mengadakan satu taklimat khas mengenai peruntukan ini pertengahan bulan lalu,” kata seorang lagi wakil rakyat.

Katanya, pada taklimat itu tujuan dan kaedah penyaluran dana telah diperjelaskan kepada ahli-ahli Parlimen BN. “Bagaimanapun jika kawasan BN yang pengundinya melebihi 60,000 orang, misalnya, wakil rakyat akan dibayar lebih RM2 juta. Ini yang dijanjikan, mungkin RM2.5 juta dan sebagainya,” kata pemimpin itu lagi.

Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN Datuk Bung Mohtar Radin menafikan adanya peruntukan sedemikian. “Tidak ada, tidak. Kami tidak menerima apa-apa peruntukan seperti ini,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Dalam laporannya malam tadi, Sin Chew Daily menyebut BN mengklasifikasikan sesuatu bahagian seperti “hitam”, “kelabu” dan “putih” - di mana BN dan Pakatan Rakyat menguasai kerusi atau BN menang dengan majoriti kecil - akan menerima antara RM1 juta dan RM2 juta.

Peruntukan akan diagihkan mengikut kawasan “putih” di mana BN memegang kedua-dua kerusi persekutuan dan negeri. Akhbar itu juga melaporkan bahawa wakil-wakil BN di Selangor menerima peruntukan bulan lalu.

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Adun Janauri lalu tetapi tidak kepada wakil rakyat BN. The Malaysian Insider membawa laporan Julai lalu bahawa Putrajaya telah meluluskan geran segera RM100,000 bagi setiap bahagian ekoran aduan ahli-ahli Parlimen BN mendakwa pentadbiran Najib hanya memfokus projek-projek besar di Lembah Klang, langkah yang menurut mereka tidak akan membantu perikatan itu dalam pilihan raya umum ke-13. (IH)

2 comments:

Anonymous said...

Saya tidak setuju dengan peruntukan 2.5 juta. Sepatutnya RM5 juta barulah banyak lagi kemudahan dapat diberikan kepada rakyat menjelang pilihan raya.

Walau bagaimanapun alhamdulillah kerana jika dibandingkan dengan pihak pembangkang, saya dapat habuk jer bila pilihan raya menjelang.

Anonymous said...

setuju dengan brother kat atas.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails