Monday, August 09, 2010

Gelombang 3 Kebangkitan PAS, Pendekatan Baru?

CATATAN SANTAI
Ustaz Mujahid semasa dialog dengan kawan-kawan dari Kristian di Sabah baru-baru ini.

SETELAH pulang dari Sabah, editor Warta Shubhi, terus menelefon saya, "Sila beri komen, ke atas pandangan dan tulisan aku ole-ole dari Sabah ni.."

'Inilah Jalan Kami - Islam For All', begitulah tajuknya, antara artikel yang saya pilih. Dimulai dengan ayat...

'Allah juga yang menjadikan berbagai bangsa dan berbagai agama di atas mukabumi ini, jesteru itu sudah tentu ada jalan penyelesaian untuk umat Islam tinggal dan hidup bersama dengan berbagai bangsa dan berbagai agama di atas muka bumi ini.' Itu kata Prof Tariq Ramadan berucap di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam ucapannya "Liberty In Islam", yang dia dan Dr Mujahid Yusuf Rawa ada bersama-sama dalam majlis malam itu.

Menurut editor Warta Shubhi, "Falsafah yang diucapkan oleh Prof Tariq Ramadan itu sebenarnya telah lama diaplikasikan oleh YB Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam siri-siri ceramah memperkenalkan Islam di gereja-gereja serata tanah Air." Setakat ini sudah lebih 10 gereja menjemput Dr Mujahid, termasuk sebuah gereja di Keningau Sabah, yang Warta Shubhi turut mengiringnya, beberapa hari lepas.

Nampaknya, bagi saya Dr Mujahid membawa satu pendekatan baru, dalam mencari 'pelanggan dakwah' baru, bukan dari kalangan Melayu-Islam seperti yang biasa dilakukan oleh PAS sebelum ini.

"Tidak." kata kawan saya, pengarang sambilan Harakah, setelah saya ajukan pandangan saya kepadanya. "Dulu semasa PAS pimpinan Hj Yusuf Rawa dan Ustaz Fadzil Noor, pimpinan PAS sudah masuk berceramah di rumah-rumah ibadat bukan Islam. Sekitar tahun 1980an.. kau ingat tak?" Dia bantah.

"Betul. Tetapi tidak ada kesinambungan. Bahkan dianggap gagal, perlu dihentikan. Saya masih ingat, bila Dr Mujahid sertai PAS lepas balik belajar luar negara. Beliau merujuk buku yang saya tulis '1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia?' mengenai hubungan dengan bukan Islam. Katanya, dia akan cuba teruskan usaha mendekatkan orang bukan Islam kepada PAS, kelemahan-kelemahan lalu perlu diatasi. Sehingga beliau tubuhkan Kelab Penyokong PAS, yang membesar menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), bermula dengan slogan 'PAS For All'." Jelas saya.

Saya sebut 'pendekatan baru', kerana beliau membuka medan baru dan mencari 'pelanggan baru'. Memang dalam sejarah perjuangan sesuatu bangsa dan agama, selalu berlaku reformasi berupa gelombang, menurut keadaan masa dan tempat. Ianya juga berlaku dalam PAS.

Dalam sejarah pergerakan politik Islam di Tanah Melayu, selepas Hizbul Muslimin diharamkan, ahli-ahlinya kebanyakan tokoh agama menyerap masuk ke dalam UMNO yang ditubuhkan pada 1946. Rupanya dalam UMNO walaupun melalui sayap agamanya, mereka tidak dapat hendak melaksakan cita-cita Islam sepenuhnya. Contohnya, dalam kes-kes kecil pun seperti judi dan arak UMNO tidak mampu selesaikan, apalagi kalau hendak laksanakan pemerintahan Islam. Maka keluarlah mereka menubuh PAS, diketuai Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan, sebagai gelombang pertama..

Sedang saya menulis artikel ini, tiba-tiba keluar berita dalam Harakahdaily net. ulasan buku Dr Mujahid yang baru diterbitkan. Buku "Menuju PAS Baru" pula adalah sedutan sebahagian dari kandungan tesis PhD beliau. Ia berkaitan dengan cadangan dan pandangan beliau bagaimana pembentukan kepimpinan PAS selepas dua lekok awal yang dilaluinya.

Dalam buku yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider itu, DrMujahid menjangkakan PAS akan melalui lekok ketiga hayatnya selepas lekok pertama PAS di zaman Datuk Asri Muda dan lekok kedua iaitu Kepimpinan Ulamak. Dr Mujahid sebut 'lekok', saya sebut 'gelombang'. Setakat ini saya masih belum baca buku itu lagi.

Pada saya, gelombang pertama sejak tubuh PAS hingga ke zaman pimpinan Datuk Asri, PAS memilih pendekatan 'kebangsaan yang bukan 'asobiah', sesuai dengan zaman kemerdekaan waktu itu. Apabila makin jauh dari angin kemerdekaan, wujud gelombang kedua, 'kepimpinan ulama'. Kini sudah hampir 30 tahun, apakah akan lahir gelombang ketiga atau 'lekok' ketiga?

Semasa di negara China tempoh hari, saya pernah berbincang dengan YB Abdul Latif Abd Rahman Timb Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan, NGO Negeri Kelantan yang juga Ketua Pemuda PAS Kelantan, mengenai gelombang ketiga ini. Beliau semacam bersetuju. Tapi apakah ciri-cirinya?
Ibnu Hasyim bersama Ustaz Abdul Latif di negara China..

Bersama Dr Mujahid dan kawan-kawan di Kg Braru KL.
Pada saya..

Satu: Di peringkat awal kepimpinan ulama, suara tiada kompromi antara Islam dan 'thaghut' amat jelas kedengaran. Meruntuhkan jahiliah dan membina Islam di atas runtuhan tersebut. Negara Islam total. Perjuangan Islam tiada tempat dalam negara sekular. Menggempur pemikiran asobiyah. Dan lain-lain.

Dua: Kini, mungkin secara kebetulan selepas Endorgan menguasai kerajaan sekular Turki, ada suara-suara pimpinan PAS memilih laluan perjuangan menegakkan Islam melalui kerajaan sekular. Hatta melalui pakatan pembangkang dengan parti bukan Islam sekalipun, atau kerajaan perpaduan UMNO-PAS melalui BN, kalau ada (sekarang mungkin tiada).

Tiga: Wujud kelanjutan dari CCC
atau Chinese Concultative Council/Majlis Perundingan Cina (Pendekatan dengan masyarakat Cina awal 1980an dulu) hingga kepada Kelab Penyokong PAS, bahkan kini menjadi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan akan datang entah apa-apa lagi.. Sehingga ia dikagumi oleh HAMAS, menjadi ikutan gerakan Islam di negara lain seperti di Indonesia (PKS for all) dan lain-lain.

Empat: Selepas berlaku krisis 'guna nama Allah di kalangan bukan Islam', PAS dipanggil lagi oleh kaum bukan Islam masuk memberi penjelasan di gereja-gereja atau rumah ibadat bukan Islam, dan ternyata PAS boleh di terima oleh mereka. Sehingga ada seorang pimpinan Kristian berkata 'Kalaulah begini pandangan PAS.. maaf sekarang saya baru tahu, sepatutunya sudah lama saya sokong PAS. Marilah kita ramai-ramai sokong PAS dalam PRU 13 akan datang!" Katanya disambut dengan tepukan gemuruh dalam sebuah geraja di utara Semenanjung.

Lima: Begitulah, kini pendekatan PAS berubah lagi, ke arah yang terbaik.
Ada pula cadangan memperjuangkan Islam melalui perlembagaan negara 'Pasal 3, (Islam Agama bagi Persekutuan), tidak timbul soal 'langkah mayat dulu kalau nak laksanakan negara Islam', tidak perlu tegakkan 'negara Islam di atas runtuhan jahiliah' dan yang seumpamanya.

Enam: Itu sebabnya, pandangan seperti Prof Tariq Ramadan dan yang sepertinya perlu diteliti, perlu diaplikasi mana yang sesuai dalam masyarakat Malaysia, sebagai penerusan ke arah me'nasional'kan PAS. Atau seterusnya ke arah me'internasional' kan PAS ke alam global.

Sekian, catatan santai kali ini.

Sekian. As-salamu 'alaikum.

Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
KL Ogos9, 10

Lihat sebelum ini..

3 comments:

Anonymous said...

elok tu ustaz. ajak masuk islam bukan masuk pas. masuk pas belum tentu islam. tapi ajak masuk islam dulu. ilmu yg kita ada tu amanah.

Anonymous said...

paderi kristian tu depan org umno pun mereka cakap macam tu.

syukur said...

Anonymous...
Syukur aku bukan orang Melayu...

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails