Monday, August 09, 2010

Aktivis PROTES: Belum Apa-apa, 3 Ditangkap

KL, 9 Ogos 10: Belum ada apa-apa aktiviti daripada aktivis Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Barang (Protes), tiga daripada mereka telah ditangkap polis petang ini. Dua pemimpin Angkatan Muda Keadilan dan seorang aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis sebelum bermulanya edaran risalah Protes di pasar malam Kampung Kerinchi, dekat sini.

Mereka yang ditahan iaitu AMK Wilayah, Rozan Mat Razif dan Fareez Kamal dan aktivis Suaram, Tee Mun Hui ditahan atas alasan tidak memberikan kerjasama kepada pihak polis dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah Brickfields.

Penyelaras Protes, Dr Hatta Mohd Ramli menyifatkan penahanan itu sebagai taktik untuk menakut-nakutkan orang ramai.

"Kita tidak tahu apa sebab mereka ditahan. Tapi saya pasti ini antara taktik menakutkan orang ramai," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Protes menganjurkan Kempen Bantah Harga Barang Naik: Selamatkan Rakyat di Pasar Malam Flat 17, Kampung Kerinchi, Lembah Pantai bermula jam 5.00 petang tadi. Sebahagian aktivis Protes membahagikan risalah kepada pengunjung pasar malam itu. Kampung Kerinchi dipilih tempat pertama kempen Protes kerana para penghuni di kawasan itu kebanyakannya daripada golongan berpendapatan rendah.

Kempen kesedaran ini dibuat ekoran kenaikan harga barang '5 dalam 1' pertengahan Julai lepas dan Protes mengemukakan lima tuntutan kepada kerajaan. Ianya termasuk gesaan hentikan pembaziran dalam pembangungan beberapa projek gajah putih. Contohnya seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). Menguatkuasakan dasar gaji minimum. Kembalikan harga asas barang asas seperti sebelum kenaikan. Menjelaskan bagaimana 'penjimatan' RM4.6 bilion daripada penyelarasan subsidi pada 2006 dibelanjakan dan menstruktur semula subsidi supaya rakyat miskin terus mendapat faedah daripadanya.

Sementara itu, pada malam ini, PROTES dijadual membuka gelanggang dengan mengadakan ceramah sulung bagi kempen protes kenaikan harga barangan, selepas dilancarkan pada 28 Julai lalu. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails