Friday, August 13, 2010

Sokong Hukuman Lebih Berat Kes Buang Bayi -Nik Aziz

KOTA BARU, 13 OGOS 10: Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong penuh cadangan kerajaan mengenakan hukuman lebih berat terhadap kes buang bayi bagi membendung gejala itu yang semakin berleluasa di negara ini.

Mursyidul Am PAS itu berkata hukuman lebih berat itu adalah menepati ajaran Islam supaya dapat memberi pengajaran kepada pelaku dan bakal pelaku.

Beliau juga bersetuju sekiranya hukuman bunuh dikenakan ke atas kes membabitkan kes buang bayi yang menyebabkan bayi itu mati, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah mingguan di Medan Ilmu di sini hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan mengarahkan polis menyiasat kes pembuangan bayi sebagai kes percubaan bunuh atau bunuh yang boleh dijatuhi hukuman gantung.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi membendung penularan kes tersebut kerana kejadian buang bayi masih berleluaasa walaupun kerajaan mengambil pelbagai inisiatif untuk menanganinya.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat undang-undang sekarang lebih “bersimpati” kepada penjenayah buang bayi yang menyebabkan gejala itu masih berleluasa. — Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails