Sunday, August 08, 2010

Persetujuan RIM-BlackBerry: Saudi Gugur Larangan

LONDON, 7 Ogos 10: Arab Saudi dilaporkan telah memutuskan untuk menggugurkan rancangan melarang komponen mesej segera telefon BlackBerry ekoran persetujuan dicapai oleh kerajaan itu dan pengeluarnya Research In Motion hari ini.

Laporan Telegraph menyebut, persetujuan itu melibatkan langkah menempatkan server BlackBerry di Arab Saudi — membolehkan kerajaan memantau mesej para pengguna, sekali gus menghilangkan kebimbangan pihak berkuasa bahawa perkhidmatan itu akan digunakan untuk tujuan-tujuan “jenayah”.

Seorang pegawai kawal sedia Arab Saudi berkata, ujian sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana server BlackBerry akan ditempatkan di negara itu. Bagaimanapun penganalisis melihat keputusan itu akan membawa implikasi besar ke atas beberapa negara lain termasuk India dan Emiriah Arab Bersatu yang turut mempertimbangkan langkah yang sama.

Beberapa negara lain juga mempertimbangkan kemungkinan itu. Pengawal selia industri telekomunikasi Arab Saudi mengarahkan perkhidmatan BlackBerry digantung mulai semalam kerana pengeluar peranti tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang dikenakan.

Bagaimanapun itu disambung selepas empat jam terganggu sementara perbincangan diadakan membabitkan kedua-dua kerajaan dan syarikat pengeluar BlackBerry. Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) dalam kenyataannya kelmarin berkata, penyediaan perkhidmatan BlackBerry tidak memenuhi kriteria kawal selia dan syarat pelesenan yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

CITC mengarahkan ketiga-tiga penyedia perkhidmatan di Arab Saudi supaya menggantung perkhidmatan BlackBerry mulai semalam selepas memberi tempoh kepada mereka untuk menggesa Research In Motion supaya 'memenuhi tuntutan pengawal selia'.

CITC berkata, pihaknya telah memberi amaran kepada syarikat-syarikat tersebut lebih setahun yang lalu mengenai keperluan untuk menangani isu yang dibangkitkan. Negara-negara terbabit bimbang dengan cara pengeluar BlackBerry, Research in Motion mengendalikan pergerakan data pengguna telefon itu.

Kerajaan UAE dan Arab Saudi bersedia mengharamkan fungsi “Messenger”, e-mel dan web atas sebab keselamatan yang berpunca dari kebimbangan ia mungkin digunakan untuk aktiviti haram. Awal minggu ini Research in Motion menekankan bahawa perkhidmatan BlackBerry Messenger tidak akan menjejaskan keselamatan.

Dalam kenyataannya, Research in Motion mengakui ia membincangkan isu keselamatan dengan kerajaan tertentu, namun syarat perundangan kerajaan serta keperluan keselamatan dan privasi syarikat dan pengguna turut dipatuhi. BlackBerry mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai.

Research in Motion cuba menyakinkan pelanggan perniagaan bahawa rahsia syarikat yang dikawal rapi ketika dihantar melalui e-mel atau Messenger tidak berdepan sebarang risiko.

“Keselamatan BlackBerry direka khas untuk membekalkan pelanggan korporat dengan keupayaan menghantar maklumat tanpa wayar selain memberikan keyakinan bahawa tiada sesiapa termasuk Research in Motion sendiri boleh mengakses data mereka,” demikian kata syarikat itu sebelum ini.

Indonesia juga sedang mengkaji soal penggunaan BlackBerry walaupun beberapa pihak menafikannya. (AK)

Sebelum ini..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails