Saturday, August 07, 2010

Kilang Arak Shah Alam: PAS Sama Dg UMNO?




CATATAN SANTAI
MELIHAT Blog YB Khalid Samad 'Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg' . Tulisnya...

"Tajuk posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak. Lanjutan daripada perbincangan berhubung Terminal Bas Shah Alam, saya bersama beberapa Ahli Majlis MBSA telah melawat kilang Carlsberg pada hari Khamis 5 Ogos, jam 3 petang. Kami disambut oleh Dato’ Chin Voon Loong, Timbalan Pengarah Urusan Syarikat berkenaan. Beliau memberikan penjelasan dan latar belakang syarikat serta prestasi perniagaannya semenjak ianya mula beroperasi. 

Untuk makluman semua, kilang Carlsberg Shah Alam telah mula beroperasi pada tahun 1972, iaitu 38 tahun dahulu. Ia merupakan di antara kilang yang terawal di kawasan tersebut dan semasa ianya dibina, hanya hutan dan belukar di kelilingnya. Dari segi operasinya, kilang tersebut mempunyai 300 orang pekerja, sebahagian darinya orang Melayu beragama Islam. Sambil itu, 100% dari bahan keperluan utama ia itu ‘Malt’ diimpot dan 50% dari produk keluarannya diekspot. Dewasa ini, pasaran sasaran adalah di luar Negara kerana pasaran Malaysia dianggap tepu.

Setelah selesai penerangan beliau, saya mula menceritakan hajat kunjungan kami ke kilang tersebut. Saya menjelaskan kepada Dato’ bahawa kedudukan kilangnya amat strategik dan walaupun dahulunya ianya dikelilingi hutan, sekarang ianya bagaikan mercu tanda pintu masuk ke Bandar Raya Shah Alam. Saya bertanya samada pihak kilang mempunyai apa-apa rancangan ‘extension’ atau pembesaran dan samada rancangan itu mungkin terlaksana di tapak itu atau memerlukan tapak yang lebih luas.

Saya menyebut bahawa sekiranya tapak yang lebih luas diperlukan, maka kemungkinan satu tapak di pelabuhan Klang, memandangkan 100% bahan keperluan Malt diimpot dan 50% bahan keluaran diekspot, boleh diusahakan. Sekiranya itu merupakan satu kemungkinan, maka tapak kilang itu hendaklah kita ‘ear mark’ atau cadangkan sebagai tapak Terminal Bas Shah Alam.

Dato’ menyatakan bahawa beliau faham sensitiviti masyarakat Shah Alam berhubung kilang beliau dan itulah di antara sebab pihak Carlsberg juga mengambil satu pendekatan ‘low profile’. Mereka tidak menonjolkan kehadiran mereka dengan secara keterlaluan. Sambil itu, menurut beliau lagi, mereka telah menanamkan pelaburan yang tinggi di situ dan telahpun membeli tanah di tepi kilang mereka pada tahun 2000 atau 2001 yang seluas 6 ekar untuk menampung keperluan pembesaran. 

Kawasan berlebihan ini masih kosong dan mencukupi untuk apa-apa perancangan pembesaran mereka. Kos pengangkutan pula tidak merupakan satu faktor kos yang besar dan oleh itu, walaupun ianya mungkin satu penjimatan, ianya tidak merupakan sebab yang kukuh, dari sudut kommersil, untuk mereka berpindah. Setelah mendengar penjelasan beliau, maka amatlah jelas bahawa kemungkinan mereka berpindah adalah amat tipis sekali. 

Sekiranya diminta berpindah sekalipun, ianya memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan Negeri. Oleh itu, walaupun tapak itu kelihatan yang paling strategik, ianya tidak mungkin digunakan untuk Terminal Bas Shah Alam. Satu tapak yang lain, yang berhampiran landasan keretapi komuter dan juga lebuh raya perlu dikenalpasti."

Jadi, perbincangan itu tidak ada kena mengenai dengan hal-hal agama, atau yang ada kaitan dengan pengharaman kilang arak seperti yang dituntut oleh majoriti orang Islam negara ini dan agama bagi Perseketuan (Perkara 3. Perlembagaan Negara) walaupun Pakatan Rakyat belum memerintah Kerajaan Pusat.

Kata YB Khalid lagi, "Oleh yang demikian, saya beralih pula kepada persoalan kakitangan Melayu Islam yang berkerja di kilangnya. Keadaan mereka, lebih-lebih lagi memandangkan bulan Ramadhan sudah menjelang, perlu diambil tahu. Walaupun mereka berkerja di kilang arak, sebagai pendakwah, maka tidak seharusnya terlalu cepat menghukum dan memutuskan hubungan dengan mereka. 

Mereka orang Islam dan usaha untuk meningkatkan kefahaman dan seterusnya penghayatan mereka terhadap Islam perlu dilakukan sepertimana ianya dilakukan terhadap seluruh anggota masyarakat, tanpa mengira latar belakang pekerjaan mereka. Saya difahamkan bahawa adanya surau di kilang tersebut dan dalam masa yang sama terdapat juga Persatuan Kebajikan Islam. Ketua persatuan pekerja, menurut beliau ialah seorang Melayu. Saya meminta Dato’ memberi saya nombor talefonnya supaya dapat saya hubunginya dan terus berurusan dengannya."

Teringat saya sebuah hadis, "Diriwayatkan dari Anas RA bahawa Rasulallah SAW telah melaknat sepuluh golongan yang terlibat dengan arak, orang yang memerah arak, orang yang diminta arak diperah untuknya, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang meminta dibawa arak kepadanya, orang yang memberi minum arak kepada orang lain, orang yang menjual arak, orang yang mendapat hasil daripada arak ,orang yang membeli arak, orang yang meminta dibelikan arak untuknya"

Sepuluh golongan yang dilaknat itu ialah..


Satu: Pemerah arak: Iaitu pekerja -pekerja yang melakukan kerja pemerahan buah-buahan seperti anggur, bertujuan hasil dari perahan anggur itu akan dijadikan arak, samada mengunakan teknologi moden atau cara lama. Hasil pekerjaannya, upah atau gaji yang diterima itulah dilarang.

Kedua: Meminta diperahkan arak untuknya. Bermaksud majikan /pengurus sesebuah syarikat yang menggaji beberapa orang pekerja di kilangnya untuk bekerja sebagai operator pengeluaran.

Ketiga: Peminum arak. Orang yang meminum arak walaupun setitik atau tidak mabuk, hanya cuba-cuba .perbuatan itu juga dilarajng.

Keempat: Pembawa arak. Ia boleh dimaksudkan sebagai pelayan di sesebuah restoran/ kedai makan / hotel dsb. Ataupun boleh juga dimaksudkan sebagai pemandu lori yang membawa muatan arak dari sesuatu tempat ke suatu tempat lain. Juga dilarang.

Kelima: 'Meminta dibawakan arak kepadanya' bermaksud seseorang yang membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi. Juga salah.

Keenam: 'Memberi minum arak kepada orang lain' bermaksud seseorang memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya. Contohnya, seseorang Muslim membelanja minum rakannya non Muslim minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu juga dilarang.

Ketujuh: Penjual arak : Boleh diertikan sebagai tuan kedai /restoran yang menjual arak kepada pelanggannya walaupun dia tidak meminumnya.

Kelapan: Orang yang mendapat hasil dari arak. Hal ini agak luas. Pemegang saham, termasuk kerajaan, individu dan sesiapamyang terlibat.

Kesembilan
: Orang yg membeli arak bermaksud pembeli arak samada untuk diminum atau tidak. Dan..

Kesepuluh: Orang yang meminta dibelikan arak untuknya. Ertinya dia suruh orang lain membeli, pun salah juga.

Perkara-perkara seperti ini perlu diambil kira. Pekerja-pekerja yang terlibat perlu diselamatkan dari terjebak ke dalam 'laknat' Allah. Ia juga adalah hak pengundi yang menaikkan PR, dan kewajipan kerajaan untuk menyelamatkan rakyatnya dari api neraka. Perlu dicari jalan penyelesain, kerana agama Islam bukanlah agama yang sempit. Tentu ada jalan selesai.

Kesimpulannya, masalah 'Arak' di Selangor perlu diselesaikan segera. Perlu dibuktikan usaha sedang dibuat, samada jangka pendek atau jangka panjang. Kalau tersekat kerana Kerajaan Pusat, buktikan dan dedahkan kepada rakyat halangan tersebut. Bukan halangan dari dalam PR sendiri. Rakyat Islam perlu diyakinkan, bahawa kalau PR memerintah Malaysia sekalipun, hukum-hukum Islam tetap mampu dilaksanakan.

Jangan sampai pengundi Islam menganggap, Undi PAS dalam PR sama dengan undi UMNO dalam BN. Jangan sampai PR dihukum pada PRU 13 mendatang.

Sekian. As-salamu 'alaikum.
Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail:
ibnuhasyim@gmail.com
KL Ogos7, 10

3 comments:

ahmed said...

Dari segi operasinya, kilang tersebut mempunyai 300 orang pekerja, sebahagian darinya orang Melayu beragama Islam. Sambil itu, 100% dari bahan keperluan utama ia itu ‘Malt’ diimpot dan 50% dari produk keluarannya diekspot. Dewasa ini, pasaran sasaran adalah di luar Negara kerana pasaran Malaysia dianggap tepu.

ali said...

'Memberi minum arak kepada orang lain' bermaksud seseorang memberi orang lain minum padahal dia tidak meminumnya. Contohnya, seseorang Muslim membelanja minum rakannya non Muslim minum arak di sesebuah restoran. Perbuatan itu juga dilarang.

zaid said...

Meminta dibawakan arak kepadanya' bermaksud seseorang yang membuat pesanan arak samada untuk diminum ataupun di simpan sebagai koleksi. Juga salah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails