Sunday, August 01, 2010

PRU 13, PR Mahu Gunakan Mandat 5 Tahun.

KL, Ogos1 10: Ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat (PR) tiada halangan jika kerajaan-kerajaan negeri pimpinannya termasuk di Selangor mahu menggunakan mandat lima tahun dengan sepenuhnya sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan membuka laluan kepada pilihan raya umum (PRU) negeri.

Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal jikapun Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum tergempar.

Khalid menjelaskan, pentadbirannya berminat untuk memutuskan soal tarikh pilihan raya umum negeri apabila melangkah ke tahun kelima mandat. Ketiga-tiga ketua pilihan raya PKR, DAP dan PAS memberitahu media bahawa pihaknya tiada halangan jika PR negeri mahu menggunakan pendekatan sendiri bagi memanggil pilihan raya negeri, sekali gus tidak memenuhi langkah BN.

Pengerusi jawatankuasa pilihan raya DAP kebangsaan Tan Kok Wai berkata, pihaknya tiada halangan dan tidak menjadi satu masalah jika kerajaan negeri Selangor mahu memutuskan demikian. Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh yang memberikan pandangan yang sealiran dengan Tan berkata, kerajaan negeri perlu diberi peluang untuk berfungsi mengikut mandat yang diberikan untuk melaksanakan program dan janji pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Lajnah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata walaupun langkah mengadakan pilihan raya umum negeri secara berasingan ada kebaikan dan keburukan, terserah kepada kerajaan-kerajaan negeri PR untuk mengambil keputusan masing-masing.

“Terserah kepada kerajaan negeri masing-masing kalau hendak bubarkan DUN atau tidak seiring dengan BN (jika bubar Parlimen), dan kami bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” kata beliau.

“Oleh kerana perkara ini sudah timbul, kami di pusat akan membincangkan nanti,” katanya.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum membabitkan beberapa negeri akan diadakan berasingan berbanding apa yang disaksikan di Semenanjung sejak negara merdeka. (AK)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails