Saturday, August 07, 2010

UMNO-PAS Dalam Konteks Perlembagaan -Prof Dr Abd Aziz Bari

Kanan sekali Prof Dr Abdul Aziz Bari

TULISAN Profesor Undang-undang UIAM, Dr. Abdul Aziz Bari dalam akhbar Sinar, Isnin 2 Ogos, 2010 bertajuk Umno-PAS dalam konteks perlemabagaan menarik minat saya dalam membentuk sistem dua parti yang kukuh dan dominan di negara ini.

Beliau menyebut, “Sistem dua parti ini penting kerana ketiadaan struktur inilah yang menyebabkan perlembagaan kita wujud hanya pada nama sahaja. Seperti yang kita maklum perlembagaan hanyalah sekadar sebuah dokumen yang tidak bermakna jika kita gagal melaksanakannya. Dan pelaksanaan ini tidak akan berlaku di dalam sebuah sistem di mana kerajaan yang memerintah tidak rasa takut dihumban keluar oleh rakyat. Rasa tidak takut ini wujud apabila kerajaan berkenaan berasa ia boleh melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa”.

Dalam konteks perlembagaan, saya nampak beliau begitu arif mengenainya. Tetapi bila menyentuh soal politik, beliau menjadi sedikit emosi, kalau pun tidak berdendam dengan PAS.

Sebagai contoh, kenyataan beliau, “PAS akan terus jadi parti Melayu yang sempit dan kampungan sekiranya ia termakan pujukan UMNO yang penuh dengan muslihat itu. Dan seperti mana yang disebut tadi PAS akan tersungkur dalam pilihan raya kerana rakyat berasa ragu siapa dan apakah sebenarnya wawasan politiknya”.

Sudah lama saya tidak mendengar komen beliau tentang PAS secara terbuka di media massa. Jika tidak silap ingatan saya, semasa beliau hadir dan menjadi selebriti dan diaju dengan berbagai pertanyaan bertubi-tubi dari ahli PAS dalam ‘Seminar Pemerasaan Parti PAS’ pada tahun lepas, beliau ada menyebut tidak akan mengulas lagi tentang PAS.

Tanpa memihak kepada pro dan kontra terhadap Pakatan Rakyat, PAS kena berpolitik di atas realiti politik semasa dan juga kehendak perjuangan Islam dan keadilan sejagat yang didukungnya.

Realitinya, PAS bertanding di kawasan yang majoritinya orang Melayu. Bagi saya, PAS perlu mengadakan satu Seminar Khas bagi membincangkan secara terperinci, kemampuan PAS dalam menjaga hak dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam perlembagaan.

Orang Melayu begitu takut untuk menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kerana bimbangkan kemampuan mereka untuk terus menikmati apa yang mereka ada pada hari ini. Kenyataan pemimpin DAP seperti Tony Pua, untuk menghapuskan diskaun 7% untuk bumiputera membeli rumah mewah amat mencurigakan orang Melayu.

Di sini PAS perlu bijak memainkan peranannya. Jika PAS gagal menyakinkan orang Melayu bahawa PAS mampu menggantikan UMNO dalam mempertahankan apa yang orang melayu ada pada hari ini, tidak mustahil PAS tidak diterima oleh orang-orang Melayu selain dari bumi Kelantan.

Mahu tidak mahu, orang Melayu akan terus bergantung kepada UMNO. Bila bukan Melayu berpindah kepada Pakatan Rakyat dan orang Melayu terus bersama UMNO, maka pada masa itu berlaku kerajaan camporan UMNO (Melayu) dan DAP+PKR (bukan Melayu).

Perhitungan seperti ini perlu diambil kira, dalam menentukan halatuju PAS dalam menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti. Disebabkan PAS sekarang ini sudah menjadi parti multi-racial seperti juga DAP dan PKR setelah adanya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), maka sudah tentu PAS berhak untuk bertanding dikawasan-kawasan camporan secara sama rata ataupun berdasarkan kepada merit tertentu.

Lebih banyak kerusi-kerusi seperti Kota Raja yang majorinya bukan Melayu perlu diserahkan kepada PAS untuk ditandingi oleh parti tersebut supaya tidak dilihat menjadi parti Melayu yang sempit dan kekampungan seperti yang dinukilkan oleh Professor Dr. Aziz Bari dan lain-lain pihak yang sependapat dengan beliau. (Sedutan dari Harakah)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails