Thursday, May 15, 2008

Dr Mujahid: Formula Perkasakan Perpaduan Nasional.



Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


KALI ini saya pilih ucapan Ustaz Dr Mujahid Yusof Rawa ahli parlimen Parit Buntar dari PAS di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 9, Selasa 13 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada 9.14 malam.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong dengan memulakan satu statistik yang mengisyaratkan tentang perlunya negara kita ini maju ke hadapan untuk memastikan perpaduan kaum, perpaduan nasional berlaku dalam negara ini. Statistik yang telah dijalankan oleh salah satu daripada badan yang membuat kajian telah menunjukkan bahawa 42% daripada rakyat Malaysia, mereka lebih suka untuk mengecam diri mereka mengikut masing-masing iaitu seramai 42%. Manakala yang mengecam diri mereka sebagai rakyat Malaysia pula ialah sebanyak 45%.

Saya menganggap bahawa peratus ini menuntut kita supaya membuat satu penilaian semula kepada usaha-usaha perpaduan kerana mengikut statistik juga, Ahli Yang Berhormat sekalian, Tuan Yang di-Pertua, bahawa tanggapan kepada usaha-usaha perpaduan ini bagi orang Melayu yang menganggap usaha-usaha perpaduan ini ikhlas ialah sebanyak 62%, kaum Cina menganggap perpaduan ini ikhlas 35%, orang India yang menganggap perpaduan ini ikhlas ialah 75%.

Tanggapan ini sudah tentulah merupakan satu yang menuntut kita sebagai pembuat dasar di dalam Dewan Parlimen yang mulia ini untuk kita mencari formula dan jalan keluar bagi kita memperkasakan dan memantapkan perpaduan nasional di dalam negara ini.

Saya mencadangkan tiga langkah yang boleh diambil sebagai usaha-usaha memurnikan perpaduan dalam negara ini, iaitu:


Pertama, mentakrifkan dan men‘tajdid’kan semula makna perpaduan kerana sudah 50 tahun kita merdeka dan kalau kita berlegar di sekitar cara yang sama, saya khuatir keputusan yang kita dapat juga adalah keputusan yang sama. Oleh itu kita harus keluar daripada daerah ini dan mencipta apa yang saya namakan sebagai ‘third graph social reengineering’, iaitu penstrukturan semula kemasyarakatan graf ketiga untuk kita keluar daripada daerah kongkongan yang selama ini kita terima pakai dan kita harus mencipta satu graf yang baru untuk memastikan perpaduan nasional di negara kita ini tercapai.

Untuk melaksanakan sedemikian, saya menyeru kepada seluruh Ahli Dewan ini untuk memikirkan dan melibatkan tak kiralah kita daripada pembangkang atau daripada kerajaan, apa cara yang baik untuk kita duduk dan kita bincang dan kita bersepakat. Kita buanglah kepentingan parti kita, kita buangkanlah apa sahaja kepentingan yang selama ini kita perjuangkan, kita meletakkan prioriti negara kita ini untuk mencapai kata sepakat bagi kita membina dan memperkasakan perpaduan nasional.


Yang kedua, ialah menilai semula doktrin patriotisme yang selama ini diamalkan, yang saya anggap pada satu tahap terlalu sempit dan dangkal. Contohnya; apabila Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Barisan Nasional menyebut menyokong pembangkang itu seolah-olah terpengaruh dengan putar-belit dan fitnah, ada yang sampai tahap berani menyatakan kalau tidak menerima pengorbanan yang dilakukan oleh Barisan Nasional ini maka seolah-olah kita tidak beriman.

Bagi saya ini satu nilai fahaman yang sempit, kerana bagi kami apa yang kita faham dalam konteks patriotisme itu ialah menyanggah pandangan, menyanggah pendapat itu sendiri bukanlah merupakan satu bentuk penentangan, tetapi ia adalah di atas dasar kasih dan cinta kita kepada negara ini dan tiada siapa yang berhak di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita mempertikaikan patriotisme dan kasih sayang kita terhadap Raja dan negara ini.


Yang ketiganya ialah, membuang fahaman politik yang sempit yang diamalkan. Iaitu menganggap bahawa ada hak cipta terpelihara bagi kumpulan tertentu sahaja di dalam negara ini yang mampu mentadbir negara dan oleh kerana itu walaupun tarikhnya sudah expired, tapi mereka masih lagi merasakan mereka ada stamina sehingga perbuatan mereka ini boleh memberi kesan kepada pengurusan dan pentadbiran negara itu sendiri.


Oleh itu, kami menganggap bahawasanya umur UMNO yang baru-baru ini telah diraikan setelah sampai kepada 62 tahun kita menganggap bahawa tunjuklah contoh yang baik kepada anak-anak, kepada cucu-cucu supaya bermuafakatlah, berbincang dengan baik, tapi janganlah menunjukkan ataupun menceritakan rumah tangga itu di hadapan khalayak ramai sehingga ia memalukan bukan sahaja orang UMNO, tapi seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu saya mengharapkan supaya selesailah masalah dengan anak-beranak, dengan anak isteri elok-elok dan janganlah dedahkan masalah itu kepada pengetahuan umum. Ini kerana saya khuatir kalau mereka sibuk dengan ini dan didedahkan kepada rakyat akan hilang perhatian untuk mereka ini mentadbir negara. Jikalau mereka rasa mereka sudah tidak mahu tadbir negara, hendak sibuk dengan parti, bagi orang lain pula yang tadbir negara ini.

Yang keduanya pula, saya hendak menyebut sedikit tentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan menterinya pun ada di sini bahagian agama Islam. Saya harap dapat mengambil nota-nota supaya dapat dikemaskinikan kedudukan Islam dalam negara kita ini dengan kita mengambil kira bahawa agama lain itu bebas untuk diamalkan tetapi Islam itu sendiri dalam konteks kenegaraan seperti mana yang disalah anggap oleh ramai wakil-wakil Yang Berhormat terhadap perjuangan kami daripada parti PAS.

Kami menganggap bahawasanya kemuncak kepada suatu sistem pemerintahan ialah apa yang disebutkan... [Membaca sepotong hadis] Atau menegakkan keadilan dan menjalankan consensus ataupun, syura. Itulah substance yang dikatakan sebuah negara yang menuju kepada keredaan Allah SWT. Dalam konteks kontemporari hari ini.... [Membaca sepotong hadis] Ataupun menegakkan keadilan dan syura itu diterjemahkan di dalam Dewan yang mulia ini untuk kita menggubal dasar-dasar, apa sahaja yang memastikan bahawa matlamat tertingginya dan nilai tertingginya ialah menegakkan keadilan.

Inilah yang kita perjuangkan dalam konteks bahawa Islam itu lebih substantif daripada formatif seperti mana yang difahami oleh ahli-ahli yang tidak memahami perjuangan Islam ini. Seterusnya, saya ingin mencadangkan kepada beberapa langkah untuk kita memperkasakan apa yang dinamakan sebagai kedudukan Islam dalam pentadbiran negara ini.


Pertama ialah pengukuhan institusi agama Islam dalam pentadbiran setanding dengan institusi-institusi yang lain. Saya difahamkan Tuan Yang di-Pertua, bahawa pengarah-pengarah daripada Jabatan Agama Islam ini kebanyakan malah hampir mungkin kesemuanya tidak ada latar belakang daripada Pengajian Islam. Kalau kita tengok untuk menjadi Pengarah Haiwan Veterinar, pengarah hospital contohnya mereka mesti datang dari latar belakang yang mereka wakili.

Kalau begitu, sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam, kita tuntut juga kalau boleh biarlah pengarah-pengarah ini datang daripada latar Islam yang layak dari sudut jawatan dan sebagainya. Ini kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di Jabatan Agama Islam Perak iaitu pengarahnya yang ada hari ini bukan daripada kalangan yang ada latar belakang Islam dan yang lebih buruk daripada itu, grednya itu pula tidak sesuai dan tidak cocok dengan kedudukannya sebagai pengarah...

(Timbalan Yang di-Pertua Dewan Datuk Ronald Kiandee menegur, “Ya, gulung Yang Berhormat.)

Jadi, saya mengharapkan. Saya hendak ambil satu lagi, yang ini saya rasa saya potong yang lain saya ambil yang itu. Iaitu mengukuhkan institusi fatwa melalui pembentukan pemikiran fatwa, acuan fiqh Malaysia. Saya rasa ini telah dibincangkan oleh para ahli akademik bahawa kita tidak mahu terkongkong dengan fiqh yang datang daripada suasana ataupun negara lain. Kita mahukan fiqh yang dinamakan sebagai acuan Malaysia selagi mana perkara itu tidak bercanggah dengan perkara-perkara yang prinsip.

Oleh itu, sebuah jawatankuasa perlu diwujudkan bagi kita mentransformasikan fiqh ala Malaysia ini, supaya dokumentasi pengkaedahan fiqh yang bersifat lokal ini dapat menyumbang kepada perkembangan fiqh di peringkat antarabangsa...

Saya dengan itu mohon untuk menyokong… Sekian, terima kasih.”

Mungkin ucapan ini terpaksa diberhentikan sebelum tiba masanya, namun banyak manfaat boleh diambil darinya, apalagi bila ia diucapkan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat sendiri. Sekian, wallahu aklam.


Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 14-05-08. KL.

2 comments:

Hasbullah Pit said...

Apa kata kalau mujahid mencadangkan supaya memberikan kerakyatan kepada dr Yusuf Qardhawi supaya badan fiqh itu automatik diperkasa.

Anonymous said...

Dr Mujahid Yusof Rawa

Arahan untuk memindahkan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak baru-baru ini telah menimbulkan krisis yang mengheret semua pihak ke kancah konflik berterusan dan sekaligus menimbulkan tandatanya yang berbagai di kalangan rakyat di negara ini. Bagi rakyat yang dihidangkan dengan media arus perdana yang ada kepentingan tertentu, rakyat menjadi semakin keliru apakah sebenarnya yang berlaku sehinggakan pokok-pangkal permasalahan menjadi kabur dan yang diperlihatkan menonjol ialah masalah-masalah lain yang lebih bersifat politikal bagi mengaut kelebihan politik.

Apa yang menyedihkan ialah isu ini menjadi bahan cemuhan pihak tertentu dan dalam mengukuhkan kerakusan mereka menyerang Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, mereka telah merendahkan kewibawaan Perkhidmatan Awam.

Saya ingin menjelaskan kepada rakyat bahawa isu Pengarah Jabatan Agama Islam ini perlu dilihat dari sudut professionalism dan bukan menjadi bahan politik murahan pihak tertentu sehingga menjejaskan nama baik perkhidmatan awam itu sendiri. Saya juga mendapat maklumat dan bukti yang jelas bahawa kewibawaan Pengarah JAIP hari ini dipertikaikan oleh pegawai-pegawainya sendiri bahkan satu memorandum telah dikemukakan terhadap Pengarah JAIP untuk perhatian pihak YAB Menteri Besar hari ini dan pihak Istana.

Isu Pengarah JAIP sepertimana yang ditegaskan adalah semata-semata isu untuk memartabatkan kewibawaan Perkhidmatan Awam supaya diletakkan JAIP pada tahapnya yang mengikut piawaian perkhidmatan awam. Isu pokok ini telah tenggelam apabila nilai tambah yang berlebihan dalam isu ini lebih menjurus kepada isu politik sempit golongan tertentu sehingga ia menjadi isu politik murahan. Bagi menjelaskan maksud ini, saya mengemukakan beberapa persoalan struktur perkhidmatan awam dalam melihat kewajaran Pengarah JAIP hari ini dipindahkan bagi memulihkan kewibaaan perkhidmatan awam supaya dihormati dan dipandang tinggi.



1. Berlaku 'anomoly' atau keganjilan dalam perjawatan Pengarah JAIP hari ini di mana beliau telah dipindahkan daripada jawatan DO untuk menjawat Pengarah JAIP pada gred memangku M 52 di mana gred hakiki ialah M48, dan dipinjamkan ke gred M54. Ini akan menjejaskan keputusan-keputusan yang dibuat dan akan timbul konflik pengurusan dalam hiraki kuasa dan jawatan. Gred Pengarah ini setelah dinaikkan pangkat ialah Gred M 52. Perkara ini menjejaskan nama baik Pekhidmatan awam.



2. Jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam selayaknya mendapat pegawai yang bergred JUSA (C), untuk memenuhi jawatan tersebut, Pengarah yang ada terpaksa dipinjamkan ke JUSA C. Perkara ini menjadi satu 'mockery' kepada Perkhidmatan Awam dan menjatuhkan kredibiliti Jabatan Agama Islam Perak dan memalukan umat Islam negeri Perak.



3. Konflik perjawatan ini telah mendapat komplen daripada pegawai-pegawai JAIP di mana saya difahamkan hampir 40 % jawatan dalam JAIP masih belum dipenuhi dan 'morale' pegawai-pegawai JAIP berada pada tahap yang rendah kerana kedudukan Pengarahnya yang dipertikaikan perjawatannya. Kesan ini amat buruk bagi perjalanan sebuah pentadbiran Agama Islam dan nama baik umat Islam kerana dilihat tidak berada pada tahap professional yang tinggi.



4. Saya turut difahamkan komplen yang dimuatkan dalam memorandum Persatuan Pegawai-Pegawai Agama Islam Negeri Perak turut mengadu tentang perilaku Pengarah JAIP yang tidak disenangi oleh pegawai-pegawainya. Begitujuga salah-laku dalam menguruskan peruntukan MAIP dalam pentadbiran zakat. Aduan juga dibuat tentang tindakan beliau yang bermotifkan politik dan tidak menepati kriteria profesionalisma sebagai seorang Pengarah JAIP. Sebagai Pengarah kepada Institusi Pentadbiran Agama, JAIP memerlukan seorang Pengarah yang ada latarbelakang akademik dari jurusan agama yang layak dan seorang yang berakhlak tinggi serta menghormati pegawai-pegawainya bagi melicinkan perjalanan JAIP sebagai institusi pentadbiran agama yang dihormati oleh semua.



Oleh itu saya menyeru supaya isu Pengarah JAIP ini dilihat dalam konteks Perkhidmatan Awam dan tidak dieksploitasikan oleh golongan yang berfikiran sempit untuk melarikan tajuk keluar daripada konteksnya. Saya juga menyeru supaya perhatian diberi dengan sewajarnya supaya JAIP mendapat pengarahnya yang lebih layak bagi menghindari 'anomaly' yang berlaku dalam pentadbiran JAIP.





Sekian
Dr Mujahid Yusof Rawa

Ahli Parlimen Malaysia
Pengerusi Perpaduan Nasional PAS Pusat

Dpd : Webmaster PB

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails