Friday, May 16, 2008

Dr Mohd Hayati: Homeopathy, Beras, Buruh Paksa & Cermin Gelap...


Ibnu Hasyim:
Catatan Santai


DR MOHD Hayati bin Othman, Ahli Parlimen Pendang Kedah dari PAS, di Dewan Rakyat Parlimen ke 12, Penggal Pertama, Mesyuarat Pertama Bil 10, Rabu 14 Mei 2008, dalam membahaskan junjung kasih ucapan dan Titah Yang Dipertuan Agong pada jam 11.56 pagi, berucap dan memberi cadangan …


“Terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya untuk sama-sama berbahas dalam perbahasan menjunjung kasih di atas perasmian Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Walaupun saya menyediakan teks sebanyak lima belas muka surat, tetapi oleh kerana lima minit, kerana saya nak baca tajuk sajalah.


Yang pertamanya…

…dalam para 37, Duli Yang Maha Mulia telah menyatakan tentang Traditional and Complimentary Medicine (TCM) yang telah dipraktikkan sekarang ini di dalam hospital-hospital awam. Jadi saya rasa perkara ini merupakan satu bentuk complimentary yang agak baik untuk kita praktiskan kerana disebut tiga buah hospital telah mengadakan pioneer dalam program ini iaitu di Kepala Batas, di Putrajaya dan juga Hospital Sultan Ismail di Johor Bharu. Ini cuma saya nak beri sedikit pandangan bahawasanya ada satu lagi bentuk traditional medicine dan juga complimentary ini yang perlu dimasukkan dalam tiga bentuk yang telah dibuat di tiga hospital ini iaitu homeopati.

Ini merupakan salah satu daripada bentuk perubatan yang telah pun berada di negara maju seperti Jerman, England dan juga di India dan Pakistan yang telah mempraktikkan sehingga mereka mempunyai hospital-hospital yang agak canggih untuk merawat menggunakan Sistem Homeopati ini. Jadi saya rasa kementerian boleh memberi satu ruang ataupun peluang sama ada membentuk kolej-kolej homeopati ataupun hospital-hospital homeopati di dalam negara kita.


Tajuk yang kedua

…adalah tentang pertanian. Kalau kita lihat daripada laporan akhbar semalam. Cuma dapat RM180 serelung untuk satu musim padi. Ini saya rasa sesuatu yang menyedihkan kepada petani kita. Keringat yang mereka curahkan hasilnya hanya RM180 saja serelung. Ini bermakna mereka terpaksa mengeluarkan kos ataupun belanja yang banyak untuk mengerjakan sawah mereka. Ini melibatkan kos-kos seperti berikut:

Perbelanjaan Kos (RM)
Merumput 40
Membajak 100
Benih padi 75
Racun dan baja tambahan 150
Membaja 65
Tuai 90
Sewa 300

Apa yang menjadi masalah sekarang Tuan Yang di-Pertua, adalah tentang bekalan-bekalan baja yang diberikan kepada petani. Kebanyakannya disebut oleh petani sebagai baja second grade ataupun baja low quality. Begitu juga dengan vitamin yang diberikan. Vitamin ini bukan vitamin orang Tuan Yang di-Pertua. Vitamin untuk padi tidak digunakan oleh petani kerana hasil yang didapati selepas mereka menggunakan vitamin ini, padi semakin mengecut, semakin tidak ada hasil.

Jadi mereka tidak menggunakan vitamin yang diberikan oleh kementerian ataupun Jabatan Pertanian kerana pada anggapan mereka, vitamin ini, vitamin yang tidak memberi vitamin yang sebenar kepada padi. Oleh sebab itu, berlonggok-longgoklah vitamin yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian di rumah-rumah mereka.


Tajuk yang ketiga…

…adalah pampasan kepada mangsa-mangsa buruh paksa pembinaan landasan kereta api Thailand ke Burma tahun 1942 hingga 1946. Saya telah mendapat keluhan daripada rakyat di kawasan saya, yang telah menjadi buruh paksa yang mengatakan mereka ini akan dibayar pampasan oleh satu persatuan ataupun Kerajaan Jepun yang berjumlah RM1.6 juta untuk seorang buruh paksa ini. Akan tetapi sampai sekarang, saya tidak tahu ke manakah perkara ini perlu dirujuk. Mungkin Kementerian Dalam Negeri ataupun Kementerian Luar Negeri, saya pun tidak arif.

Saya harap pada kementerian yang mempunyai maklumat berhubung dengan pampasan kepada buruh paksa Jepun yang membuat landasan kereta api tersebut, supaya memberi perhatian terhadap keluhan yang dikemukakan oleh rakyat ini. Khabarnya seramai 72,000 rakyat negara ini telah pun menjadi buruh paksa. 30,000 pulang semula ke tanah air, 42,000 hilang entah ke mana. Mungkin telah menjadi makanan harimau ataupun telah maut di Burma dan juga Myanmar. Dan akhir sekali...”


“Masa! Masa Yang Berhormat.” Timbalan Yang di-Pertua Dewan, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengingatkan.


“Akhir sekali.

...Akhir sekali, amaran oleh JPJ laporan akhbar pada hari ini, mengatakan akan mengadakan sekatan jalan raya dan mengenakan tindakan ke atas mereka yang menggunakan kenderaan cermin gelap. Jadi ini saya rasa merupakan satu masalah yang perlu dihadapi oleh Kementerian Pengangkutan bahawa mereka yang mengimport kereta ini memang diimport kereta cermin gelap, terpaksa ditukar cermin yang cerah.

Belanja RM300, mendapat kelulusan daripada PUSPAKOM tetapi apabila diberikan kepada pengguna di cermin gelapkan balik kereta tersebut. Yang menjadi mangsa adalah pengguna. Jadi saya harap kalau hendak import itu biarlah daripada awal ia tidak gelap. Cerah daripada Jepun sampai ke sini. Terima kasih.” Dr Mohd Hayati menutup cadangannya.

“Okey Yang Berhormat, terima kasih!” Sambut Timbalan Yang di-Pertua Dewan.


Sekian Catatan Santai dari parlimen untuk kali ini.

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@gmail.com) 16-05-08. KL.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails